SHAH ALAM, 23 SEPT: Seramai 50 kakitangan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) turun padang membantu kerja pembersihan kediaman penduduk terjejas banjir di sekitar Jalan Kolam Air Lama, semalam.
MPAJ memaklumkan operasi yang bermula jam 9 pagi itu membabitkan kakitangan daripada pelbagai jabatan.
“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha MPAJ dalam membantu meringankan beban penduduk yang terkesan serta memastikan kerja pembersihan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya menerusi Facebook.

Menurut MPAJ, usaha berkenaan turut bertujuan mempercepat proses pemulihan kawasan serta kediaman selepas banjir.
"MPAJ komited terus bekerjasama dengan komuniti bagi membantu penduduk terjejas bencana serta menjaga keselamatan dan kesejahteraan mereka," katanya.







