MBSJ tunda, sita kenderaan rosak terbiar di kawasan awam

23 Sep 2026, 1:00 PM
MBSJ tunda, sita kenderaan rosak terbiar di kawasan awam
MBSJ tunda, sita kenderaan rosak terbiar di kawasan awam

SHAH ALAM, 23 SEPT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengeluarkan notis amaran selain menunda dan menyita kenderaan rosak serta terbiar di kawasan awam sekitar Puchong, Seri Kembangan dan Subang Jaya.

MBSJ memaklumkan tindakan itu dilaksanakan menerusi operasi penguatkuasaan pada 18 September lalu susulan aduan orang ramai serta hasil pemantauan di beberapa lokasi dikenal pasti.

“Dalam operasi tersebut, notis amaran telah ditampal terhadap kenderaan yang dikenal pasti sebagai rosak dan terbiar.

“Tindakan penundaan dan sitaan turut dilaksanakan terhadap kenderaan yang gagal mematuhi arahan serta peruntukan undang-undang kecil yang berkuat kuasa,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Antara lokasi terlibat ialah Jalan Kempas, Kampung Tengah, Puchong, Persiaran Lestari Putra, Taman Lestari Putra, Seri Kembangan serta Jalan USJ 1 dan USJ 2 di Subang Jaya.

Operasi turut dijalankan di Jalan Prima 7, Taman Puchong Prima, Puchong dengan kenderaan yang ditunda dibawa ke Depoh Puchong Utama dan Sri Puchong untuk tindakan lanjut.

MBSJ memaklumkan operasi itu sebahagian usaha memastikan kawasan di bawah pentadbirannya sentiasa bersih, selamat dan teratur.

“Tindakan penguatkuasaan akan diteruskan tanpa kompromi terhadap kenderaan rosak dan terbiar yang ditinggalkan di kawasan awam,” katanya.

Orang ramai juga turut diminta bertanggungjawab dan tidak meninggalkan kenderaan rosak atau terbiar sehingga mengganggu keselamatan, kebersihan serta kesejahteraan komuniti.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.