SELAYANG, 23 SEPT: Kerjasama rentas agensi dan penyedia platform digital perlu diperkukuh bagi mengekang eksploitasi seksual kanak-kanak yang semakin kompleks di ruang dalam talian.
EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata pemangsa kini boleh memanfaatkan pelbagai saluran termasuk permainan dalam talian, penstriman langsung dan laman web gelap (dark web) untuk mendekati mangsa atau menyebarkan kandungan terlarang.
Menurut beliau, usaha menanganinya tidak boleh bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya perlu disokong perundangan, kawalan kandungan digital serta pendidikan keselamatan kepada kanak-kanak.
“Sekiranya secara realiti ia meningkat, ia sangat merisaukan, bukan sahaja tentang keselamatan anak-anak kita, tetapi ia juga dijadikan peluang kepada mereka yang memanipulasi atau mengeksploitasi kandungan dalam talian.
“Saya kira perlu ada kerjasama antara pihak siasatan jenayah polis, Kementerian Komunikasi serta platform berkaitan dalam mengawal kandungan ini,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau turut membangkitkan penggunaan laman web gelap dalam kegiatan eksploitasi seksual kanak-kanak yang membolehkan bahan terlarang disebarkan secara tersembunyi, sekali gus menyukarkan usaha pengesanan.

“Banyak kegiatan ini berlaku dalam dark web. Saya pernah melihat sendiri dapatan berkaitan gambar dan kandungan dalam talian di dark web dan ia sangat menggerunkan.
“Jadi pada saya, ia perlu ditangani dengan lebih serius. Undang-undang perlu lebih ketat kerana tujuannya adalah untuk menghentikan kesalahan itu daripada berlaku lagi dan lagi,” katanya lagi.
Pada masa sama, beliau mengingatkan pemangsa boleh menggunakan ruangan sembang dalam permainan dalam talian dan penstriman langsung untuk mendekati kanak-kanak secara licik.
Justeru, katanya, pendidikan keselamatan digital perlu diberikan menggunakan pendekatan bersesuaian supaya kanak-kanak memahami risiko ketika berinteraksi dengan individu tidak dikenali.
“Contohnya, mungkin secara licik mereka masuk melalui chat dalam game atau penstriman langsung. Di situ ada ruang untuk mereka cuba memancing kanak-kanak.
“Jadi kanak-kanak perlu diberikan pendedahan, tetapi pendekatannya mesti betul supaya pendidikan itu tidak menyebabkan mereka terlalu ingin tahu sehingga akhirnya terjebak,” ujar beliau.
Dalam pada itu, Anfaal berkata Kerajaan Negeri melaksanakan advokasi perlindungan dan keselamatan kanak-kanak sejak 2024 dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), polis serta pihak berkaitan.
Katanya, program berkenaan merangkumi aspek keselamatan dalam talian dan kesedaran mengenai buli, selain diperluaskan daripada sekolah aliran perdana kepada sekolah berasrama penuh, sekolah di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta institusi tahfiz.

“Kita dah mulakan advokasi perlindungan dan keselamatan kanak-kanak sejak 2024. Kerajaan Negeri bekerjasama dengan JKM pergi ke sekolah-sekolah.
“Keselamatan ini bukan sahaja tentang keselamatan atas talian. Kita bekerjasama dengan SKMM, polis dan juga pihak kaunseling,” jelasnya.
Menurut Anfaal, usaha berkenaan akan diteruskan kerana bentuk ancaman terhadap kanak-kanak sentiasa berubah seiring perkembangan teknologi dan penggunaan platform digital.
“Kita dah mula, maknanya kita bukan reaktif. Bukan apabila ada laporan operasi baru kita laksanakan, tetapi kita dah laksanakan lebih awal.
“Advokasi dan kesedaran ini perlu dilaksanakan secara berterusan kerana kumpulan sasaran mungkin berada di tempat yang berbeza,” katanya.
Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan seramai 170 individu ditahan menerusi siri Op Pedo dan Operation Cyber Guardian sejak 2024, selain lebih 2.12 juta fail membabitkan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan pornografi ditemukan.
Op Pedo Bersepadu 3.0 yang dijalankan dari 14 hingga 16 September lalu sahaja membawa kepada penahanan 53 individu serta penemuan 653,193 fail digital, termasuk 540,127 fail CSAM.








