Malaysia, Indonesia bincang ancaman eksploitasi kanak-kanak di platform digital

19 Okt 2026, 3:37 PM
Malaysia, Indonesia bincang ancaman eksploitasi kanak-kanak di platform digital

BALI, 19 OKT: Penyalahgunaan platform digital untuk mengeksploitasi kanak-kanak, termasuk merekrut mereka bagi melakukan tindakan keganasan, antara isu yang akan dibincangkan Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil bersama rakan sejawatnya dari Indonesia Meutya Hafid pada Selasa (20 Oktober).

Fahmi berkata pertemuan dua hala itu akan membincangkan cabaran kawal selia media sosial dan perkongsian strategi menangani penyalahgunaan platform dalam talian.

Beliau berkata Malaysia turut berdepan isu “pedophile” yang menggunakan media sosial untuk memangsakan kanak-kanak, selain permainan dalam talian yang disalahgunakan untuk merekrut dan melatih mereka melakukan tindakan keganasan.

“Kita pun nak tahu apa cabaran yang dihadapi Kerajaan Indonesia dan bagaimana mereka cuba untuk mengatasi,” katanya sempena lawatan kerja dua hari beliau ke Bali bermula Isnin.

Menurutnya, perbincangan itu turut berpandukan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai penggunaan media sosial yang lebih bertanggungjawab, selain membolehkan kedua-dua negara berkongsi pengalaman menangani cabaran keselamatan digital.

Fahmi turut dijadual menyampaikan ucaptama pada Minggu Teknologi Bali 2026 esok, dengan mengetengahkan pengalaman Malaysia dalam pembangunan kecerdasan buatan (AI), peningkatan literasi AI dan cabaran kawal selia teknologi digital.

Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, Fahmi disambut oleh urus setia Minggu Teknologi Bali 2026 sebelum beramah mesra dengan Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital Singapura Josephine Teo, yang turut menghadiri acara berkenaan.

Beliau diiringi Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Dr Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibudden serta Setiausaha Pertama (Ekonomi) Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Fakhrul Arifin Mohammad Zulkifly.

Selepas lawatan kerja di Bali berakhir esok, Fahmi dijadual berlepas ke Jakarta bagi meneruskan lawatan kerja di Indonesia hingga Khamis.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.