SHAH ALAM, 23 SEPT: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) selesai menjalankan kerja menutup dan membaiki kawasan tanah runtuh di Flat Damai Perdana, Cheras susulan kejadian malam tadi.
MPKj menerusi Facebook memaklumkan kejadian dipercayai berpunca daripada kebocoran paip air di dalam tanah sehingga menyebabkan struktur tanah menjadi tidak stabil.
“Kerja-kerja pembaikan dan penutupan kawasan runtuhan telah dilaksanakan oleh Unit Road Gang, Jabatan Kejuruteraan MPKj bagi memastikan kawasan tersebut berada dalam keadaan selamat dan terkawal,” menurut kenyataan itu.
Kerja pemantauan dan pembaikan oleh Unit Road Gang, Jabatan Kejuruteraan MPKj berlangsung antara 10.30 malam hingga 3.30 pagi.
Timbalan Yang Dipertua MPKj Mohd Fareez Mohd Ariss @ Mohd Hatta hari ini turut meninjau lokasi kejadian di Blok D, Flat Damai Perdana Dua, Cheras bersama Ahli Majlis serta pegawai beberapa jabatan MPKj.
Tinjauan turut dilakukan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Taman Desa Baiduri, Cheras bagi melihat keadaan penduduk yang terjejas.
MPKj memaklumkan pemantauan pergerakan tanah di kawasan berkenaan diteruskan bersama agensi berkaitan bagi mengelakkan risiko kejadian lebih buruk.
Terdahulu, penghuni berhampiran kawasan pangsapuri berkenaan diarahkan mengosongkan kediaman sebagai langkah berjaga-jaga selepas kejadian tanah runtuh dilaporkan malam tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kecemasan pada jam 9.03 malam sebelum lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn tiba di lokasi lapan minit kemudian.
Pemeriksaan awal mendapati kejadian membabitkan tebing setinggi kira-kira 4.57 meter dengan jarak tanah menggelongsor sekitar 0.91 meter.
Air turut dikesan masih mengalir di kawasan berkenaan, namun tiada pergerakan tanah selanjutnya dikesan ketika pemeriksaan. Tiada mangsa atau kemalangan jiwa dilaporkan.










