Pertimbang operasi pembenihan awan jika paras empangan bawah 60 peratus

24 Sep 2026, 2:00 AM
Pertimbang operasi pembenihan awan jika paras empangan bawah 60 peratus
Pertimbang operasi pembenihan awan jika paras empangan bawah 60 peratus

SHAH ALAM, 24 SEPT: Operasi pembenihan awan (OPA) akan dipertimbangkan sekiranya paras air empangan di Selangor susut bawah 60 peratus susulan fenomena Super El Nino yang dijangka bermula November ini.

EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata setakat ini paras air tujuh empangan dalam keadaan stabil walaupun berlaku penurunan, dengan lima daripadanya mencatatkan kapasiti melebih 70 peratus.

“Tahun ini kita dimaklumkan fenomena global iaitu Super El Nino memberi kepanasan dan beri kesan kepada Lautan Pasifik. Ia menyebabkan cuaca kering dan panas dan sebahagian tempat berlaku hujan yang melampau.

EXCO Infrastruktur Dato' Ir Izham Hashim bercakap kepada media selepas Bengkel Semakan Semula Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu (ICM) Negeri Selangor di Hotel De Palma, Shah Alam pada 23 April 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Jadi kita akan pantau tujuh kolam kita. Lima tunjukkan penurunan yang banyak tapi belum kritikal lagi. Jika kita dapati tanda penurunan berterusan, kita akan ambil langkah perlu termasuk pembenihan awam di kawasan hulu.

“Langkah ini apabila paras air kritikal bawah 60 peratus. Kita akan pertimbangkan kerana nak laksanakan OPA ini bukan mudah disebabkan pengaruh faktor lain seperti angin,” katanya kepada Media Selangor.

Ir Izham berkata walaupun hujan berlaku dalam beberapa hari lalu, namun ia tidak melibatkan di kawasan hulu sungai yang menjadi lokasi empangan terbabit.

“Setakat ini ada juga empangan yang catat paras tinggi iaitu Sungai Langat. Masih pada paras atas 90 peratus. Bagaimanapun keadaan ini akan terus dipantau supaya langkah segera dapat diambil,” katanya lagi.

Pada 9 September, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan Super El Nino yang dijangka bermula hujung tahun ini berpotensi membawa cuaca panas dan kering ekstrem dengan beberapa kawasan bakal merekodkan suhu sehingga 40 darjah Celsius antara Januari hingga Mei tahun depan.

Jabatan itu memaklumkan kebarangkalian berlakunya fenomena berkenaan menghampiri 100 peratus berdasarkan ramalan model iklim daripada pusat pencerapan dan penyelidikan antarabangsa.

Keadaan itu turut berpotensi menyebabkan kawasan utara dan pedalaman Semenanjung, selain pedalaman Sabah dan Sarawak, mengalami suhu lebih tinggi daripada kebiasaan serta meningkatkan risiko cuaca panas dan gelombang haba bermula penghujung Monsun Timur Laut pada Januari hingga Mei 2027.

MetMalaysia turut memberi amaran mengenai peningkatan risiko kebakaran hutan dan jerebu susulan keadaan cuaca yang lebih panas dan kering.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.