KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya hari ini dan esok bagi mengurangkan kesan jerebu serta memperbaiki kualiti udara di kawasan terjejas.
Ketua Pengarah NADMA Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata operasi itu dilaksanakan berikutan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) bagi parameter PM2.5 di kawasan terlibat melebihi 150 selama lebih 24 jam berdasarkan bacaan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Pelaksanaan operasi bagaimanapun tertakluk kepada keadaan cuaca dan kewujudan awan yang sesuai bagi proses pembenihan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), menggunakan pesawat C-130 Hercules milik TUDM sebagai aset utama.
Menurut kenyataan itu, NADMA bersama agensi berkaitan akan terus memantau perkembangan situasi jerebu dan keadaan cuaca semasa bagi memastikan tindakan bersesuaian dapat diselaraskan dari semasa ke semasa.







