Sasaran operasi pembenihan awan perlu tepat, elak banjir kilat

Sasaran operasi pembenihan awan perlu tepat, elak banjir kilat
Sasaran operasi pembenihan awan perlu tepat, elak banjir kilat
Sasaran operasi pembenihan awan perlu tepat, elak banjir kilat
Sasaran operasi pembenihan awan perlu tepat, elak banjir kilat

SHAH ALAM, 20 OKT: Operasi pembenihan awan (OPA) memerlukan pemilihan kawasan, keadaan awan dan arah angin yang tepat bagi memastikan hujan turun di lokasi sasaran tanpa meningkatkan risiko banjir kilat.

Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Mazli Mazlan berkata penilaian tersebut dibuat berdasarkan data teknikal Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) yang menganalisis keadaan atmosfera, pembentukan awan dan arah angin sebelum OPA dilaksanakan.

“Kita kena tengok di mana kawasan yang berpotensi menghasilkan hujan. Mungkin kita tidak boleh buat di seluruh Selangor, tetapi hanya di sebahagian kawasan.

“Kita juga tengok arah angin supaya ia menjurus ke arah kawasan yang diperlukan, bukannya ke kawasan lain sehingga boleh menyebabkan banjir kilat,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Mazli berkata kejayaan OPA juga bukan sekadar dinilai berdasarkan sama ada hujan berjaya dihasilkan, sebaliknya hujan berkenaan perlu turun tepat di kawasan sasaran terutama kawasan tadahan atau empangan.

Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi NADMA Datuk Mazli Mazlan. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Kalau hujan tersasar keluar daripada kawasan empangan, kita gagal meningkatkan paras air di kawasan tadahan. Kalau ia turun di kawasan bukan tadahan, kita akan rugi kerana air itu akhirnya mengalir ke sungai dan ke laut,” katanya.

Beliau menjelaskan kelembapan dan kestabilan atmosfera, kewujudan awan serta arah angin antara faktor yang menentukan keberhasilan operasi.

“Kalau tidak ada awan, kita hendak paksa turunkan hujan memang tidak akan berlaku. Sebab itu kita perlukan data teknikal supaya apabila OPA dilaksanakan, kita berjaya menghasilkan hujan yang diperlukan dan ia turun di kawasan yang kita kehendaki,” katanya.

Mazli memaklumkan sejak Februari lalu, kira-kira 80 peratus OPA berjaya menghasilkan hujan di kawasan sasaran.

Dalam tempoh sama, sebanyak 18 siri OPA dilaksanakan di seluruh negara membabitkan lebih 55 penerbangan, merangkumi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Selain membantu meningkatkan paras air di kawasan tadahan dan empangan, OPA turut dilaksanakan bagi mengurangkan kesan cuaca panas dan kering serta sebagai langkah mitigasi ketika berdepan jerebu.

Setakat Ogos, sebanyak lapan siri OPA dilaksanakan di Selangor sebagai langkah mitigasi keadaan berkenaan.

Hujan boleh turun dalam 30 hingga 60 minit

Sementara itu, Mazli berkata hujan lazimnya boleh berlaku dalam tempoh 30 hingga 60 minit selepas proses pembenihan, bergantung kepada keadaan dan saiz awan.

Malah, awan yang cukup besar dan aktif boleh mula menghasilkan hujan lebih awal selepas disemai.

Bagaimanapun, katanya bukan semua jenis awan sesuai untuk proses berkenaan.

Antara yang menjadi sasaran ialah awan 'kumulus menara', iaitu awan besar dan tinggi yang mempunyai potensi menghasilkan hujan lebih banyak.

Pesawat perlu memasuki awan berkenaan untuk melakukan semburan larutan garam, sekali gus memerlukan juruterbang berpengalaman kerana keadaan penerbangan boleh menjadi mencabar.

Larutan garam yang disembur berfungsi mengaktifkan titisan air sedia ada dalam awan sebelum ia bercantum, menjadi semakin berat dan akhirnya turun sebagai hujan.

Pada 9 September, METMalaysia memaklumkan Super El Nino yang dijangka bermula hujung tahun ini berpotensi membawa cuaca panas dan kering ekstrem dengan beberapa kawasan bakal merekodkan suhu sehingga 40 darjah Celsius antara Januari hingga Mei tahun depan.

Jabatan itu memaklumkan kebarangkalian berlakunya fenomena berkenaan menghampiri 100 peratus berdasarkan ramalan model iklim daripada pusat pencerapan dan penyelidikan antarabangsa.

Keadaan itu turut berpotensi menyebabkan kawasan utara dan pedalaman Semenanjung, selain pedalaman Sabah dan Sarawak, mengalami suhu lebih tinggi daripada kebiasaan serta meningkatkan risiko cuaca panas dan gelombang haba bermula penghujung Monsun Timur Laut pada Januari hingga Mei 2027.

METMalaysia turut memberi amaran mengenai peningkatan risiko kebakaran hutan dan jerebu susulan keadaan cuaca yang lebih panas dan kering.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.