14 operasi pembenihan awan dilaksana, lebih 50 penerbangan seluruh negara

30 Sep 2026, 7:00 AM
14 operasi pembenihan awan dilaksana, lebih 50 penerbangan seluruh negara
14 operasi pembenihan awan dilaksana, lebih 50 penerbangan seluruh negara
14 operasi pembenihan awan dilaksana, lebih 50 penerbangan seluruh negara

SHAH ALAM, 30 SEPT: Sebanyak 14 siri operasi pembenihan awan (OPA) membabitkan lebih 50 penerbangan dilaksanakan di seluruh negara setakat hari ini susulan jerebu rentas sempadan serta cuaca panas dan kering sejak awal tahun.

Jumlah itu meningkat berbanding tahun lalu, dengan operasi turut meliputi Sabah dan Sarawak.

Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mazli Mazlan berkata OPA dilaksanakan bagi meningkatkan taburan hujan, khususnya untuk memastikan paras air empangan kekal mencukupi.

“Sejak awal tahun, OPA sudah dilaksanakan dan sekarang kita berdepan masalah jerebu. Ini antara langkah mengatasinya peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU).

“Namun fokus utama OPA nak tangani masalah penurunan paras air akibat cuaca kering, sekali gus memastikan isi bekalan air sama ada kegunaan domestik, komersial dan pertanian tidak akan berlaku,” katanya kepada Media Selangor.

Mazli berkata siri OPA dijangka akan terus meningkat memandangkan fenomena Super El Nino yang membawa cuaca panas dan kering ekstrem melanda negara menjelang hujung tahun ini sehingga pertengahan tahun depan.

Menurutnya, NADMA akan sentiasa mengkaji data dari semua pihak sebelum mengambil tindakan sesuai bagi mengatasi masalah jerebu dan penurunan paras air empangan.

“Hari ini kita jalankan OPA melibatkan empat tangki bancuhhan 800 kilogram garam dan 6,000 liter air, yang mana ia akan disembur ke awan yang berpotensi.

“Kali ini kita sasarkan kawasan sekitar Selangor dan Lembah Klang. Bila hujan, ia dapat kurangkan IPU, membolehkan semua pihak dan masyarakat dapat menjalankan rutin dan aktiviti dirancang,” katanya.

Pada 9 September, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan Super El Nino yang dijangka bermula hujung tahun ini berpotensi membawa cuaca panas dan kering ekstrem dengan beberapa kawasan bakal merekodkan suhu sehingga 40 darjah Celsius antara Januari hingga Mei tahun depan.

Jabatan itu memaklumkan kebarangkalian berlakunya fenomena berkenaan menghampiri 100 peratus berdasarkan ramalan model iklim daripada pusat pencerapan dan penyelidikan antarabangsa.

Keadaan itu turut berpotensi menyebabkan kawasan utara dan pedalaman Semenanjung, selain pedalaman Sabah dan Sarawak, mengalami suhu lebih tinggi daripada kebiasaan serta meningkatkan risiko cuaca panas dan gelombang haba bermula penghujung Monsun Timur Laut pada Januari hingga Mei 2027.

MetMalaysia turut memberi amaran mengenai peningkatan risiko kebakaran hutan dan jerebu susulan keadaan cuaca yang lebih panas dan kering.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.