Kemarau: Anwar arah tingkat operasi pembenihan awan di utara Semenanjung

5 Mei 2026, 8:32 AM
Kemarau: Anwar arah tingkat operasi pembenihan awan di utara Semenanjung

PUTRAJAYA, 5 MEI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengarahkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk meningkatkan operasi pembenihan awan di utara Semenanjung susulan musim kemarau yang berlaku di kawasan berkenaan.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata operasi berkenaan perlu dilaksanakan dengan kadar segera.

“Kita sedar di utara Kedah terutamanya menghadapi musim kemarau yang agak lebih panjang daripada biasa. Itu menyebabkan kesukaran peladang dan juga pesawah.

“Kita telah mengarahkan pembenihan awan ditingkatkan oleh TUDM dan saya juga minta JBPM yang mempunyai keupayaan yang relatif lebih kecil … meneruskan kegiatan (pembenihan awan) dalam beberapa hari ini,” kata beliau pada sidang media Krisis Bekalan Global, di sini hari ini.

Semalam, Anwar mengarahkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) untuk menyegerakan pelaksanaan operasi pembenihan awan di negeri-negeri yang berada pada tahap kritikal, khususnya Kedah dan Perlis.

Beliau berkata langkah itu merupakan keperluan mendesak dalam mendepani situasi cuaca semasa, selain menyarankan penggunaan teknologi dron bagi mengatasi kekangan logistik agar operasi berkenaan dapat dilaksanakan dengan lancar.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.