SHAH ALAM, 23 SEPT: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menyita enam premis perniagaan tanpa lesen yang dikendalikan sepenuhnya oleh warga asing dalam operasi penguatkuasaan bersepadu di Klang.
MBDK menerusi Facebook memaklumkan operasi oleh Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasa itu dijalankan di Jalan Kebun Baru/KU15, Jalan Klang Perdana dan Kampung Perepat.
Menurutnya, enam premis yang diperiksa menjalankan pelbagai aktiviti termasuk kedai serbaneka, kedai gunting rambut, kedai runcit yang menjual ayam hidup serta premis penyediaan makanan.
“Kesemua premis dikesan beroperasi tanpa lesen dan dijaga serta dikendalikan sepenuhnya oleh pekerja warga asing,” menurut kenyataan itu.
Susulan pemeriksaan, MBDK mengeluarkan enam Borang Inventori sebelum melaksanakan tindakan sitaan serta-merta atas kesalahan beroperasi tanpa lesen sah.
MBDK menegaskan pihaknya memandang serius kegiatan perniagaan tanpa lesen, khususnya yang membabitkan warga asing, bagi memastikan pematuhan undang-undang serta menjaga ketenteraman awam di Klang.








