Usaha atasi kesesakan Subang Bestari masuk peringkat awal, satu pemaju setuju

23 Sep 2026, 1:00 AM
Usaha atasi kesesakan Subang Bestari masuk peringkat awal, satu pemaju setuju
Usaha atasi kesesakan Subang Bestari masuk peringkat awal, satu pemaju setuju
Usaha atasi kesesakan Subang Bestari masuk peringkat awal, satu pemaju setuju

SHAH ALAM, 22 SEPT: Usaha mempercepat pembinaan jalan terputus (missing link) di Seksyen U4, Subang Bestari kini memasuki peringkat awal selepas satu daripada dua pemaju terlibat bersetuju membina laluan dalam kawasan pembangunan mereka.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara Izuan Kasim berkata perkembangan itu membuka ruang untuk meneruskan penyambungan keseluruhan laluan bagi membantu mengurangkan kesesakan trafik di kawasan berkenaan.

“Ini peringkat permulaan apabila pemaju bersetuju untuk membina jalan dalam kawasan mereka. Ia melibatkan jalan pemaju, jadi pemaju perlu membinanya terlebih dahulu sebelum kita boleh selesaikan,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Menurut Izuan, laluan itu penting kerana jalan sedia ada hanya mempunyai dua lorong, sedangkan kesesakan di Subang Bestari sudah berlarutan lebih 15 tahun dan semakin ketara susulan pertambahan penduduk di Elmina.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Izuan Kasim.

“Jalan sedia ada hanya mempunyai dua lorong. Pembukaan laluan ini dapat mengagihkan sebahagian kenderaan yang menghala ke Kwasa Land atau datang dari Kota Damansara.

“Isu kesesakan lalu lintas di Subang Bestari sudah berlarutan lebih 15 tahun dan kini semakin teruk apabila penempatan di Elmina bertambah,” katanya.

Beliau berkata laluan berkenaan merupakan satu daripada tiga 'missing link' di Subang Bestari yang pada asalnya dirancang untuk dibina sekitar 2035.

“Selepas menjadi wakil rakyat, perkara ini antara isu yang kerap saya bawa dalam pertemuan bersama pemaju supaya pembinaannya dapat dilaksanakan lebih awal,” ujarnya.

Izuan berkata tumpuan seterusnya adalah memastikan jajaran simpang empat di kawasan berkenaan dapat diselaraskan bagi melancarkan pergerakan trafik apabila laluan itu siap kelak.

Laluan Persiaran Cakerawala berhampiran HELP University, Seksyen U4, Subang Bestari yang akan ditambah baik bagi melancarkan aliran trafik.

“Perbincangan sekarang menjurus kepada usaha memastikan simpang tersebut selari. Jika dapat diselaraskan, pergerakan trafik akan lebih lancar. Jika tidak, aliran trafik akan sedikit terganggu,” katanya lagi.

Menurutnya, penyelarasan itu memerlukan penyerahan sebahagian tanah daripada pemaju terlibat dan perkara tersebut turut dibincangkan bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Sekarang kita menunggu keputusan berhubung penyerahan sebahagian tanah. Jika dipersetujui, simpang berkenaan dapat dibina sebagai simpang empat yang selari,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, tempoh pelaksanaan keseluruhan projek masih belum dapat ditetapkan kerana proses berkenaan berada di peringkat awal.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.