SHAH ALAM, 5 SEPT: Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang (SARP) dijangka berupaya memacu pertumbuhan ekonomi di sekitar Kota Damansara melalui Rancangan Selangor Kedua (RS-2).
Menurut wakil rakyatnya, pembangunan semula Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat termasuk Kampung Melayu Subang dan Subang Bestari.
Izuan Ahmad Kasim menjelaskan pembangunan SARP seluas kira-kira 477.33 hektar itu memberi tumpuan kepada pembangunan sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat.

“Antara komponen penting dalam SARP ialah pembangunan ekosistem aeroangkasa yang merangkumi pemain industri MRO, pembuat peralatan aeroangkasa bernilai tinggi serta pembekal peralatan dan perkhidmatan berkaitan.
“Subang sudah lama menjadi hab MRO bagi industri aeroangkasa dan pembangunan semula ini akan memberi nafas baharu kepada kawasan berkenaan, selain membuka lebih banyak ruang pekerjaan kepada penduduk Kota Damansara,” katanya kepada Media Selangor.
Katanya, sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor juga perlu diberi perhatian bagi meningkatkan nilai rantaian dan memperkukuh sektor pembuatan berteknologi tinggi.
Beliau juga menjelaskan tempoh lima tahun akan datang perlu dimanfaat untuk memperkukuh pelaburan, pendidikan serta utiliti bagi menyokong sasaran Selangor dalam sektor berkenaan.
Menurutnya, pembangunan berasaskan kelebihan setempat penting untuk membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup penduduk, bukan tertumpu kepada pertumbuhan ekonomi semata-mata.
Wakil rakyat Kota Kemuning Preakas Sampunathan pula percaya penyelesaian isu banjir dan kesesakan trafik antara tumpuan utama bagi merancakkan ekonomi setempat melalui RS-2.

Beliau memberitahu keperluan pengangkutan awam yang lebih terancang juga perlu diberi tumpuan kerana kawasannya itu strategik dan berdekatan dengan jaringan lebuh raya.
“Kedekatan Kota Kemuning dengan koridor logistik Lembah Klang memberi kelebihan untuk mengembangkan sektor perkhidmatan, perindustrian ringan, perniagaan moden serta aktiviti logistik bernilai tambah,” katanya.
Preakas menjelaskan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta ekonomi digital wajar diberi keutamaan melalui pendigitalan perniagaan kecil bagi meningkatkan daya saing serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada golongan muda.
"Anak muda perlu menjadi antara penerima manfaat utama RS-2 melalui peluang pekerjaan yang menawarkan gaji lebih baik, selain latihan peningkatan kemahiran supaya mereka dapat mengisi pekerjaan dalam sektor yang berkembang.
“RS-2 ini perlu dirasai dan dinikmati rakyat secara langsung. Kejayaan sesuatu rancangan bukan hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi atau pembangunan baharu tetapi sejauh mana kehidupan rakyat menjadi lebih baik hasil daripada pembangunan itu," katanya.








