MBPJ sahkan permohonan pembangunan pusat data Kota Damansara ditarik balik

31 Jul 2026, 1:13 AM
MBPJ sahkan permohonan pembangunan pusat data Kota Damansara ditarik balik
MBPJ sahkan permohonan pembangunan pusat data Kota Damansara ditarik balik

SHAH ALAM, 31 JULAI: Permohonan kebenaran merancang bagi cadangan pembinaan pusat data di Seksyen 9, Kota Damansara ditarik balik selepas pemaju memutuskan untuk menilai semula kesesuaian projek berkenaan.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memaklumkan pihaknya menerima surat daripada perunding projek yang mewakili pemaju pada 28 Julai lalu berhubung penarikan balik permohonan kebenaran merancang yang dikemukakan sebelum ini.

Menurut MBPJ, langkah itu dibuat bagi membolehkan pemaju meneliti semula daya maju tapak serta komponen pembangunan supaya lebih ekonomik, mampan dan selaras dengan pembangunan di kawasan sekitarnya.

"Perunding memaklumkan penarikan balik itu dibuat bagi memberi ruang kepada pemaju menilai semula kebolehlaksanaan tapak dan komponen pembangunan agar lebih sesuai dengan persekitaran," kata MBPJ seperti dilaporkan StarMetro.

MBPJ menjelaskan permohonan yang ditarik balik itu membabitkan permohonan penyerahan balik dan pemberimilikan semula tanah mengikut Seksyen 197 dan Seksyen 76 Kanun Tanah Negara 1965.

Permohonan tersebut dikemukakan serentak bersama kebenaran merancang bagi pembangunan pusat data perniagaan di kawasan berkenaan.

Cadangan pembangunan itu melibatkan 19 lot tanah milik persendirian serta sebahagian rizab jalan kerajaan di Jalan Rimba Riang 9/6, Seksyen 9, Kota Damansara.

Projek berkenaan merancang pembinaan dua blok bangunan pusat data setinggi tiga tingkat.

Notis cadangan pembangunan pusat data komersial di Kota Damansara yang dipamerkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Izuan Kasim turut mengesahkan perkembangan itu menerusi hantaran di media sosial.

"Perunding telah menarik balik permohonan bagi perancangan pusat data di Seksyen 9, Kota Damansara. Terima kasih semua warga Kota Damansara," katanya.

Terdahulu, Media Selangor melaporkan cadangan projek itu sebelum ini menerima bantahan daripada penduduk selepas notis konsultasi awam didakwa mengandungi nombor rujukan dan maklumat perhubungan yang tidak tepat, selain tempoh bantahan hanya diberikan selama seminggu.

Susulan itu, MBPJ pada 15 Julai mengarahkan pemaju memperbetulkan kesilapan berkenaan sekali gus melanjutkan tempoh maklum balas awam sehingga 27 Julai.

MBPJ sebelum ini turut menjelaskan projek berkenaan masih belum dibawa ke Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) untuk sebarang pertimbangan atau kelulusan.

Gabungan Penduduk Kota Damansara yang mewakili lebih 500 isi rumah membantah cadangan tersebut dengan membangkitkan kebimbangan terhadap pencemaran bunyi, operasi 24 jam, kesan haba, penggunaan tenaga yang tinggi, risiko kepada Hutan Komuniti Kota Damansara serta isu keselamatan lalu lintas.

Penduduk turut menggesa kawasan itu dikekalkan sebagai pembangunan premis perniagaan seperti yang dirancang dalam pelan asal.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.