PM komited tambah peruntukan atasi banjir Kampung Melayu Subang

12 Nov 2026, 3:43 PM
PM komited tambah peruntukan atasi banjir Kampung Melayu Subang
PM komited tambah peruntukan atasi banjir Kampung Melayu Subang
PM komited tambah peruntukan atasi banjir Kampung Melayu Subang

SHAH ALAM, 12 NOV: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan komitmen untuk menyediakan peruntukan tambahan bagi kerja mendalamkan sungai sebagai langkah menangani masalah banjir berulang di Kampung Melayu Subang.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, Izuan Kasim berkata Anwar turut menyemak semula projek mitigasi banjir segera atau 'quick win' bagi memastikan pelaksanaannya berkesan dalam mengurangkan risiko banjir.

Menurutnya, langkah awal itu turut melibatkan pemasangan beberapa pintu air sementara, selain mengenal pasti sungai yang menjadi laluan kemasukan air ke kawasan terjejas.

“Anwar telah memberikan komitmen bahawa ada peruntukan tambahan yang membolehkan semua sungai-sungai ini boleh dikorek terlebih dahulu dan dipasang beberapa 'flood gate' sementara.

“Ini sebahagian daripada komitmen kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri. Saya turut memberikan beberapa input bahawa ada beberapa sungai yang menjadi punca kemasukan air, walaupun kita maklum ada taburan hujan yang tinggi,” katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara Izuan Kasim meninjau pam air yang dipasang di Jalan Resak, Kampung Melayu Subang.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Banjir Negeri Selangor yang dipengerusikan Anwar di Bangunan Parlimen, petang tadi.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin; EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim serta wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi berkaitan.

Dalam pada itu, Izuan berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor turut menyenaraikan beberapa perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menangani masalah banjir di kawasan berkenaan.

Beliau berharap langkah segera dapat dilaksanakan tanpa perlu menunggu projek jangka panjang disiapkan, selain memberi manfaat kepada penduduk yang terjejas.

“Kita harap semua perancangan ini dapat kurangkan impak banjir. Sementara mahu tunggu projek jangka panjang ini siap, kita tidak boleh tunggu lagi.

“Saya dari masa ke semasa akan terus membuat semakan bersama pihak PBT dan JPS bagi memastikan proses korekan sungai berjalan lancar,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menghadiri Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Banjir Negeri Selangor yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Parlimen, petang tadi. Foto Facebook Amirudin Shari

Terdahulu, Amirudin memaklumkan empat tindakan utama diberi penekanan dalam mesyuarat berkenaan, termasuk memperkukuh sistem amaran awal, meningkatkan penyelarasan pengurusan bencana, mencari penyelesaian banjir kilat serta meneliti amalan terbaik pengurusan banjir Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sementara itu, Anwar menegaskan kepentingan penyelenggaraan sungai, parit, sistem saliran, kolam tadahan dan pintu air bagi memastikan semua kemudahan berfungsi dengan baik.

Beliau turut mengarahkan agensi berkaitan mengenal pasti kawasan berisiko tinggi, mempercepat pembersihan saliran tersumbat serta memperkukuh pemantauan paras air.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.