SHAH ALAM, 22 SEPT: Tiga daerah di Selangor iaitu Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat diramal mengalami ribut petir, hujan lebat serta angin kencang sehingga 9 malam.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi Facebook memaklumkan cuaca sama turut diramal melanda Kuala Lumpur dan seluruh Perlis selain beberapa kawasan di Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah.
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my, media sosial serta memuat aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.





