Dua suspek samun bersenjatakan kapak direman tujuh hari

22 Sep 2026, 5:30 AM
Dua suspek samun bersenjatakan kapak direman tujuh hari

SHAH ALAM, 22 SEPT: Dua rakan direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes samun bersenjatakan kapak, sehingga mencederakan pemilik kedai membaiki jam di Jalan Anson, Georgetown.

Perintah reman terhadap dua lelaki itu dikeluarkan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi bermula hari ini bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, lapor Berita Harian.

Terdahulu, kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 42 dan 43 tahun, tiba di mahkamah pada 8.50 pagi.

Dalam kejadian petang semalam, dua suspek datang ke kedai berkenaan menaiki sebuah kereta, sebelum seorang daripada mereka masuk ke dalam premis.

Suspek yang bersenjatakan kapak kemudian mengarahkan isteri mangsa menyerahkan wang, namun mangsa, 59, cuba menghalang tindakan berkenaan.

Susulan itu, berlaku pergelutan yang mencederakan tangan kanan mangsa, mengakibatkan suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Volkswagen berwarna putih yang dipandu rakannya.

Mangsa yang cedera dilaporkan stabil selepas menerima rawatan.

Bertindak atas maklumat, polis kemudian menahan kedua-dua suspek, 12.20 tengah malam tadi, di kawasan perumahan di Straits Quay di sini.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.