Halang operasi tangkap anjing liar, ibu dan anak didenda RM500 seorang

4 Nov 2026, 9:07 AM
Halang operasi tangkap anjing liar, ibu dan anak didenda RM500 seorang

SHAH ALAM, 4 NOV: Dua beranak yang mengasari anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Muar (MPM) ketika operasi menangkap anjing liar bulan lalu, masing-masing didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Ainun Jongin, 52, warga Indonesia, dan anak perempuannya, Loo Sock Yan, 24, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kartini Kasran, lapor Berita Harian.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara 30 hari sekiranya gagal membayar denda. Bagaimanapun, kedua-duanya menjelaskan denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama dengan sengaja menghalang seorang penjawat awam, iaitu Pembantu Kesihatan Awam MPM berusia 31 tahun, ketika menjalankan tugas dalam operasi menangkap anjing liar.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Taman Bintang Emas, Bukit Pasir, di sini, kira-kira jam 5.45 pagi, 29 Oktober lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pengadu yang juga mangsa mengetuai operasi bersepadu bagi menangkap anjing liar di sekitar Taman Bintang Emas, Bukit Pasir.

Sebaik tiba di lokasi, pengadu bersama anggota lain mendapati beberapa ekor anjing berkeliaran di kawasan berkenaan.

Ketika operasi dijalankan, pengadu berjaya menangkap dua ekor anjing sebelum didatangi dua beranak terbabit yang kemudian menghalang tugasnya serta cuba melepaskan haiwan berkenaan.

Pengadu memberi amaran supaya mereka tidak mengganggu tugas anggota penguat kuasa selain memaklumkan pemilik perlu menuntut anjing yang ditangkap di pejabat MPM.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh kemudian mengambil alat digunakan untuk menangkap anjing berkenaan sebelum seorang anggota penguat kuasa wanita cuba mengawal dan menenangkan keadaan, namun terjatuh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yasmin Mohd Piah, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Tan Joes Nan.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.