Pemilik syarikat didakwa kemuka tuntutan palsu subsidi upah PERKESO

22 Sep 2026, 4:52 AM
Pemilik syarikat didakwa kemuka tuntutan palsu subsidi upah PERKESO

SHAH ALAM, 22 SEPT: Pemilik sebuah syarikat kontraktor pembinaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberikan dokumen mengandungi pernyataan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berkaitan tuntutan subsidi upah, empat tahun lalu.

Muhammad Ra'abilshah Samzali, 42, didakwa di hadapan Hakim Irwan Suainbon mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), lapor Berita Harian.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butiran matan palsu atau silap, jika butiran itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh memberikan kepada seorang ejen PERKESO yang bertugas sebagai Perantis Bahagian Insurans Pekerjaan di Putrajaya, satu dokumen senarai nama pekerja bertajuk 'SIP Subsidi Upah Bersasar 5.0' bagi tujuan tuntutan insentif di bawah skim berkenaan.

Dokumen itu didakwa mengandungi pernyataan palsu mengenai butiran matan apabila senarai nama pekerja berkenaan mengandungi nama individu yang bukan pekerja MRSJ Builders Sdn Bhd.

Nama individu berkenaan didakwa dimasukkan bagi mengelirukan prinsipal dengan niat memperdayakan ejen terbabit, sedangkan tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen itu mengandungi pernyataan palsu mengenai butiran matan.

Muhammad Ra'abilshah didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat MRSJ Builders Sdn Bhd, Jalan Sungai Dua, Gelugor, di sini, pada 14 Februari 2022.

Tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Arif Shaharuddin mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar, menawarkan jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan tertuduh melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali.

Nurnajihatul Idayu turut memohon supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, namun dimaklumkan pasport berkenaan berada di pihak mahkamah berkaitan pertuduhan lain sebelum ini.

Bagaimanapun, Muhammad Arif merayu supaya jumlah jaminan ditetapkan pada kadar minimum dengan alasan anak guamnya kini berniaga dengan pendapatan antara RM7,000 hingga RM10,000 sebulan selain menanggung isteri dan tiga anak berusia antara satu hingga lapan tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 serta mematuhi syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 2 November ini untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, jumlah tuntutan yang dibuat tertuduh bernilai RM275,400 membabitkan 163 pekerja.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.