SHAH ALAM, 21 SEPT: Had kelayakan pendapatan bulanan isi rumah bagi Baucar Kita Selangor dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM8,000 dan ke bawah, sekali gus membolehkan lebih ramai keluarga menikmati manfaat inisiatif berkenaan.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata penerima yang memenuhi syarat kelayakan akan menerima baucar bernilai RM600 bagi pembelian keperluan makanan, perubatan dan pendidikan.
"Had pendapatan bulanan isi rumah bagi Baucar Kita Selangor kini dinaikkan kepada RM8,000 dan ke bawah berbanding RM5,000 sebelum ini.
"Baucar bernilai RM600 ini boleh digunakan untuk pembelian makanan, perubatan dan pendidikan," katanya.
Menurutnya, agihan Baucar Kita Selangor dilaksanakan secara berfasa sehingga Disember 2026.

Beliau berkata pemohon perlu memenuhi tujuh syarat kelayakan termasuk warganegara Malaysia, mempunyai pendapatan bulanan isi rumah RM8,000 dan ke bawah serta merupakan pemilih berdaftar di Selangor.
"Pemohon juga perlu menetap dan mempunyai alamat tempat tinggal di Selangor, manakala kelayakan dihadkan kepada seorang penerima bagi setiap isi rumah.
"Pemohon dan pasangan juga mestilah bukan penerima aktif Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS)," ujarnya.
Tambah Anfaal pemohon perlu mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak berusia 18 tahun dan ke bawah, termasuk ibu atau bapa tunggal akibat perceraian atau kematian pasangan.
"Keluarga perlu mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak berusia 18 tahun dan ke bawah, termasuk ibu atau bapa tunggal melalui perceraian atau kematian.
"Orang ramai boleh membuat semakan kelayakan menerusi portal rasmi Baucar Kita Selangor," katanya.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM355.06 juta menerusi Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 dan Fasa 2 bagi mendepani kesan krisis bekalan susulan konflik di Asia Barat.
Daripada jumlah itu, RM145.8 juta diperuntukkan bagi Fasa 1 yang sedang dilaksanakan menerusi tujuh inisiatif, manakala RM209.26 juta lagi disalurkan untuk Fasa 2 yang merangkumi 15 inisiatif baharu.
Baucar Kita Selangor merupakan antara inisiatif di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dengan peruntukan RM131 juta bagi membantu rakyat menghadapi kesan ketidaktentuan ekonomi susulan krisis geopolitik di Asia Barat.







