Kerajaan Negeri terbuka tambah kedai tempatan sebagai vendor Baucar Kita Selangor

23 Jun 2026, 4:11 AM
Kerajaan Negeri terbuka tambah kedai tempatan sebagai vendor Baucar Kita Selangor

SHAH ALAM, 23 JUN: Kerajaan Selangor terbuka menerima cadangan untuk menambah penyertaan kedai tempatan di kawasan luar bandar sebagai vendor Baucar Kita Selangor bagi memastikan manfaat inisiatif itu dapat dinikmati oleh lebih ramai rakyat.

EXCO Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata sebanyak 1,500 kedai dalam rangkaian pembekal yang menyediakan barangan kepada penerima manfaat Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) setakat ini, selain 30 cadangan tambahan diterima daripada pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan vendor sebanyak 1,530. Namun begitu, kita masih terbuka menerima cadangan kedai-kedai luar bandar yang beroperasi secara rangkaian tunggal (single chain) supaya mereka boleh menjadi vendor atau pembekal di bawah Baucar Kita Selangor.

“Kerajaan Negeri ada memohon pusat-pusat khidmat untuk mencadangkan kedai-kedai tempatan untuk dijadikan panel untuk baucar ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Pakej Pengukuhan Daya Tahan pada Sidang Khas Dewan Negeri Selangor hari ini.

Pengesahan permohonan bantuan Baucar Kita Selangor 2026 bernilai RM100 akan dibuka menerusi portal rasmi www.baucarkitaselangor.com bermula jam 12 tengah hari, hari ini.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri turut memberikan ruang khas kepada ibu tunggal berpendapatan RM5,000 ke bawah untuk memohon bantuan berkenaan melalui portal sama.

Sebelum ini, Amirudin dilaporkan berkata, Baucar Kita Selangor 2026 bernilai RM100 akan mula diagihkan kepada penerima yang layak bermula 30 Jun ini untuk tempoh enam bulan.

Seramai 50,000 penerima akan dipilih berdasarkan data yang diperoleh daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Selangor bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Baucar Kita Selangor merupakan antara inisiatif di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dengan peruntukan RM131 juta bagi membantu rakyat menghadapi kesan ketidaktentuan ekonomi susulan krisis geopolitik di Asia Barat.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri akan melancarkan inisiatif Rakan Penjagaan Selangor bagi membantu menyampaikan maklumat berkaitan program dan bantuan kerajaan kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

“Negeri juga bekerjasama dengan pembanci Pejabat Pembangunan Negeri Selangor (ICU JPM) untuk menyampaikan maklumat di samping mendapatkan data terkini dan dinamik bagi memandu polisi kerajaan.

“Pun begitu, pentadbiran negeri akan meneliti cadangan untuk meningkatkan capaian ‘outreach’ ini agar tiada yang tercicir dari jaring keselamatan sosial Selangor,” ujarnya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.