SHAH ALAM, 7 OGOS: Kerajaan Negeri memperluas syarat kelayakan program Baucar Kita Selangor dengan membukanya kepada isi rumah berkahwin yang mempunyai pendapatan bulanan RM5,000 dan ke bawah.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata dengan perluasan syarat itu, dijangka jumlah permohonan meningkat kepada 32,000 berbanding kini 18,889.
"Untuk program ini, kita buka kuota 50,000 dan setakat ini jumlah permohonan 18,889 . Setakat pagi ini, permohonan diluluskan 3,747 cuma yang aktif 3,044. Berdasarkan jumlah permohonan, ada 54,000 masih dalam draf, belum hantar.
"Boleh jadi sebab dokumen-dokumen sokongan tidak lengkap dan hendak cuba tetapi syarat ditetapkan sebelum ini ibu atau bapa tunggal. Kini, kalau masih berkahwin boleh memohon tetapi hanya seorang sahaja.
"Malah, mungkin yang menyebabkan cabaran pemohon adalah syarat membuktikan tiada pendapatan, bermaustatin memerlukan akuan pesuruhjaya sumpah. Jadi, kita beri kelonggaran tidak perlu letak akuan sumpah supaya lebih ramai lagi memohon," katanya hari ini.
Terdahulu, bercakap dalam sidang media di Wisma Dewan Annex Negeri Selangor, beliau memaklumkan perluasan syarat kelayakan itu terbuka kepada warganegara dan pemilih berdaftar yang menetap di Selangor.
"Pemohon mempunyai pendapatan bulanan RM5,000 dan ke bawah serta mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak di bawah umur 18 tahun, mereka kini layak untuk memohon.
"Bagi memastikan bantuan ini saksama dan bersasar, kelayakan ditetapkan kepada hanya seorang penerima bagi setiap isi rumah, serta pemohon bukanlah penerima aktif bagi Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS)," ujarnya.
Tambahnya lagi, tiada tarikh tutup bagi permohonan program bantuan RM100 sebulan bagi tempoh enam bulan itu sehingga mencapai kuota ditetapkan.
Bagi isi rumah yang ingin memohon boleh berbuat demikian bermula esok jam 8 pagi secara atas talian menerusi portal rasmi di www.baucarkitaselangor.com
Baucar Kita Selangor merupakan antara inisiatif di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dengan peruntukan RM131 juta bagi membantu rakyat menghadapi kesan ketidaktentuan ekonomi susulan krisis geopolitik di Asia Barat.
Seramai 50,000 penerima akan dipilih berdasarkan data yang diperoleh daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Selangor bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Sebelum ini, permohonan Baucar Kita Selangor hanya terbuka kepada ibu dan bapa tunggal.







