Baucar Kita Selangor RM100 mula diagih 30 Jun, libatkan 50,000 penerima

15 Jun 2026, 7:54 AM
Baucar Kita Selangor RM100 mula diagih 30 Jun, libatkan 50,000 penerima

SHAH ALAM, 15 JUN: Bantuan Baucar Kita Selangor 2026 bernilai RM100 akan mula diagihkan kepada penerima yang layak bermula 30 Jun ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari Kerajaan Negeri akan meneliti senarai permohonan pada 22 Jun hingga 23 Jun sebelum pemilihan penerima dimuktamadkan.

Katanya, seramai 50,000 penerima akan dipilih berdasarkan data yang diperoleh daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Selangor bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap sempena majlis Pelancaran Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor fasa 1 di Bilik Gerakan MTES pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 15 Jun 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Kerajaan Negeri menyasarkan penerima dapat melaksanakan pembelian dan menggunakan baucar tersebut bermula 30 Jun ini. Seterusnya, pengagihan secara berperingkat pada setiap akhir bulan Julai, Ogos hingga akhir Disember ini.

“Semakan terhadap setiap permohonan turut melibatkan rujukan kepada data daripada Lembaga Zakat Selangor dan pangkalan data e-Kasih bagi memastikan kelayakan pemohon dapat dinilai dengan lebih tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pakej Daya Tahan Selangor di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini.

Tambah Amirudin, Kerajaan Negeri turut mengambil inisiatif memasukkan sebahagian pemohon yang tidak layak atau masih berada dalam senarai permohonan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) untuk pertimbangan bagi bantuan baucar tersebut.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bersama pimpinan kerajaan negeri selepas menyempurnakan Pelancaran Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor fasa 1 di Bilik Gerakan MTES pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 15 Jun 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Proses semakan akan dibuat secara menyeluruh termasuk terhadap pemohon BINGKAS yang masih belum layak atau tidak terpilih berikutan kuota sebanyak 30,000 telah penuh.

“Daripada rekod permohonan BINGKAS, mereka yang tidak layak atau masih dalam proses permohonan akan dipertimbangkan untuk dimasukkan ke dalam senarai penerima Baucar Kita Selangor tertakluk kepada syarat kelayakan yang ditetapkan,” ujarnya.

Pada 16 April lalu, Amirudin mengumumkan Baucar Kita Selangor 2026, iaitu bantuan RM100 sebulan selama enam bulan kepada 50,000 rakyat negeri ini bagi mengurangkan kos sara hidup, yang dijangka bermula Jun 2026.

Ia adalah sebahagian daripada Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor dengan peruntukan RM131 juta, khusus bagi mendepani krisis geopolitik di Asia Barat ketika ini.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.