IPU dipantau sebelum Larian Kita demi keselamatan peserta

21 Sep 2026, 9:00 AM
IPU dipantau sebelum Larian Kita demi keselamatan peserta

SHAH ALAM, 21 SEPT: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) akan dipantau sehari sebelum Larian Kita sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bagi memastikan keselamatan peserta.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata Kerajaan Negeri akan menilai keadaan kualiti udara sebelum membuat keputusan sama ada acara berkenaan diteruskan atau ditangguhkan.

“Untuk acara Larian Kita, DYMM Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin turut serta dalam kategori 3 kilometer (km). Justeru, kita akan memantau bacaan IPU sehari sebelum acara bagi memastikan keadaan udara sesuai dan selamat untuk semua peserta.

"Sekiranya bacaan IPU menunjukkan keadaan semakin buruk dan boleh menjejaskan kesihatan peserta, kita akan menangguhkan acara berkenaan atau menggantikannya dengan program lain yang lebih bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam segmen Temubual Khas sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan DYMM Sultan Selangor bersama Selangor FM, hari ini.

Menurut Ahmad Fadzli, aspek keselamatan dan kesejahteraan rakyat menjadi pertimbangan utama dalam pelaksanaan setiap program sambutan khususnya acara yang melibatkan penyertaan orang ramai.

Larian Kita Jubli Perak dijadual berlangsung pada 10 Oktober ini, bermula di Dataran Klang @ Padang Chetty dan berakhir di Stadium Sultan Suleiman, Klang.

Acara berkenaan menyasarkan penyertaan 3,000 peserta menerusi tiga kategori jarak iaitu 3km, 10km dan 21km, bagi memeriahkan sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan DYMM Sultan Selangor.

Sambutan Jubli Perak yang disusun menerusi 19 program membabitkan pelbagai lapisan masyarakat di seluruh daerah Selangor dengan pengisian merangkumi aspek kemasyarakatan, kebajikan, keagamaan, sukan dan pembangunan bakat.

Sambutan dijadual berlangsung lebih sebulan mulai 28 September hingga 1 November, dengan acara kemuncak pada 25 Oktober bersempena genap 25 tahun pemerintahan Baginda.

Acara kemuncak berkenaan akan menyaksikan tiga istiadat utama, iaitu Istiadat Pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama beserta 21 das tembakan; Istiadat Pemasyhuran Gelaran dan Pengangkat Sumpah serta Menjunjung Budi Orang Besar Istana dan Dato’ Diraja Selangor serta Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor.

Dalam perkembangan lain, 21 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat setakat 8 pagi hari ini.

Berdasarkan paparan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Sarawak merekodkan bacaan tertinggi dengan Serian mencatatkan IPU 168, diikuti Kapit (166), Sri Aman (160), Miri, Bintulu dan Kuching (158), Samarahan (157), Sibu (156), Samalaju (155), ILP Miri (146) dan Limbang (104).

Di Semenanjung pula, Nilai, Negeri Sembilan merekodkan bacaan IPU 158, diikuti Putrajaya (157), Cheras, Kuala Lumpur dan Seremban, Negeri Sembilan (155), Johan Setia (153), Shah Alam dan Bukit Rambai, Melaka (152) serta Tangkak, Johor (125).

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.