KULIM, 21 SEPT: Seorang bekas juruteknik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya pada minggu lepas.
G. Vikneswaran, 43, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Hamizah Mat Shah namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Lelaki itu didakwa membunuh S. Sila, 39, di sebuah rumah di Taman Tiram di sini antara 6.30 petang hingga 9.04 malam 14 Sept.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Preeyaa manakala lelaki itu tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 8 Dis untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, polis mengesahkan seorang wanita maut selepas ditikam 13 kali oleh suaminya dipercayai akibat cemburu sebelum suspek menyerah diri di Balai Polis Lunas.
-- BERNAMA







