Isteri ditahan dipercayai tikam suami selepas bertengkar

23 Jun 2026, 8:54 AM
Isteri ditahan dipercayai tikam suami selepas bertengkar

SHAH ALAM, 23 JUN: Isteri ditahan bagi membantu siasatan selepas dipercayai mencederakan suaminya menggunakan pisau dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Datuk Mohammad Musa, Kota Samarahan, Kuching Isnin lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Barry William berkata kejadian kira-kira jam 6.50 petang itu menyebabkan mangsa, lelaki berusia 35 tahun, mengalami kecederaan pada bahagian perut.

Menurutnya, polis menerima maklumat daripada pihak hospital berhubung seorang lelaki yang sedang menerima rawatan selepas dipercayai ditikam isterinya menggunakan pisau.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dan suspek adalah suami isteri yang sudah berkahwin selama 12 tahun dan mempunyai tiga anak,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Beliau berkata pasangan berkenaan bagaimanapun tidak tinggal bersama sejak lebih dua tahun lalu berikutan perselisihan faham yang berlaku antara mereka.

Siasatan awal turut mendapati berlaku pertengkaran sebelum kejadian yang dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu.

Menurut Barry, mangsa dipercayai datang ke rumah sewa suspek sebelum bertindak memukul kepala wanita berusia 31 tahun itu menggunakan topi keledar kerana mengesyakinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

“Akibat dipukul, suspek mengalami kecederaan di kepala sebelum mencapai sebilah pisau dan menikam mangsa yang ketika itu dikatakan mengekorinya masuk ke dalam rumah,” katanya.

Tambah beliau, insiden berkenaan turut disaksikan ibu suspek yang juga ibu mentua mangsa menerusi panggilan video WhatsApp ketika pertengkaran itu berlaku.

“Suspek mendakwa tindakannya itu bagi mempertahankan diri selepas dipukul mangsa,” katanya.

Menurutnya, suspek kemudian membawa mangsa ke Pusat Jantung Kota Samarahan untuk mendapatkan rawatan.

Mangsa mengalami kecederaan pada perut sehingga menyebabkan sebahagian usus terkeluar dan terpaksa menjalani pembedahan.

Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami kecederaan serius pada organ dalaman lain dan kini masih menerima rawatan serta berada di bawah pemantauan pihak hospital.

Polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Suspek ditahan dan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.