Kesihatan mental terpelihara bentuk generasi masa depan sejahtera 

21 Sep 2026, 2:00 AM
Kesihatan mental terpelihara bentuk generasi masa depan sejahtera 

Suatu ketika dahulu, kecemerlangan pelajar sering diukur melalui keputusan peperiksaan. Semakin tinggi pencapaian akademik, semakin besar harapan yang diberikan.

Namun dunia hari ini sudah banyak berubah. Di sebalik keputusan yang cemerlang, ada pelajar yang sedang bergelut dengan tekanan, kebimbangan dan keletihan emosi yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Kesihatan mental bukan lagi isu terpencil. Ia semakin menjadi cabaran yang perlu diberi perhatian serius kerana melibatkan generasi yang bakal mencorakkan masa depan negara.

Dalam Islam, setiap ujian mempunyai hikmahnya. Allah SWT mengingatkan bahawa manusia pasti akan melalui pelbagai bentuk ujian dalam kehidupan. Justeru, tekanan dan cabaran emosi perlu dihadapi dengan kesabaran, ikhtiar serta sokongan daripada orang di sekeliling.

Remaja hari ini membesar dalam persekitaran yang jauh berbeza daripada generasi terdahulu.

Selain tekanan akademik, mereka berdepan pengaruh media sosial, budaya perbandingan, buli siber, harapan keluarga serta pelbagai cabaran lain yang boleh memberi kesan terhadap kesejahteraan emosi.

Kesihatan mental perlu diberi keutamaan 

Menyedari hakikat itu, Kerajaan Negeri Selangor mengambil langkah memperkukuh kesejahteraan mental pelajar melalui pendekatan yang lebih menyeluruh bersama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Amirudin Shari, berkata "isu ini memerlukan perhatian serius memandangkan kesannya boleh menjejaskan perkembangan serta kesejahteraan pelajar" ketika menghadiri majlis pecah tanah kampus baharu Sekolah Menengah Akademik Kuen Cheng di Bandar Seri Coalfields, Shah Alam pada tempoh hari.

Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan baharu melalui program kokurikulum di luar silibus akan dibincangkan kerana kesejahteraan mental tidak boleh bergantung kepada pembelajaran di dalam bilik darjah semata-mata.

Pendekatan ini amat signifikan. Hakikatnya, pendidikan bukan sekadar melahirkan pelajar yang memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang.

Pendidikan juga bertanggungjawab membentuk individu yang mempunyai daya tahan, mampu mengurus emosi dan bersedia menghadapi cabaran kehidupan.

Semua nilai ini sukar dipupuk melalui buku teks semata-mata. Di sinilah pentingnya aktiviti kokurikulum; sukan mengajar disiplin dan ketabahan, persatuan membentuk kepimpinan dan keyakinan diri, khidmat masyarakat menyemai empati dan rasa tanggungjawab serta perkhemahan pula melatih keberanian, kerjasama dan kebolehan menyelesaikan masalah.

Tanpa disedari, pengalaman seperti inilah yang membentuk kekuatan emosi seorang pelajar.

Cabaran remaja dalam era digital 

Dalam era digital pula, cabarannya menjadi semakin kompleks. Media sosial membuka ruang untuk berhubung dengan lebih ramai orang.

Namun pada masa yang sama, ia turut mendedahkan remaja kepada budaya perbandingan, tekanan untuk sentiasa kelihatan sempurna serta lambakan maklumat yang tidak semuanya memberi kesan positif.

Tidak semua pelajar mampu mengurus tekanan tersebut. Ada yang memilih untuk memendam perasaan, ada yang kehilangan keyakinan diri.

Lebih membimbangkan, ada yang merasakan diri mereka keseorangan walaupun berada di tengah-tengah keluarga dan rakan-rakan.

Justeru, usaha melindungi kesihatan mental tidak boleh bermula hanya apabila seseorang pelajar menunjukkan tanda-tanda kemurungan atau tekanan yang serius.

Pendekatan yang lebih berkesan ialah pencegahan. Pelajar perlu dibimbing mengenali emosi mereka sejak usia muda.

Mereka juga perlu memahami bahawa mendapatkan bantuan apabila berdepan kesukaran bukanlah tanda kelemahan, sebaliknya satu bentuk keberanian.

Dalam masa yang sama, ibu bapa dan guru merupakan benteng pertama yang mampu mengesan perubahan tingkah laku anak-anak.

Kadangkala, apa yang diperlukan oleh seorang remaja bukanlah jawapan kepada semua masalahnya.

Mereka hanya memerlukan seseorang yang benar-benar sudi mendengar tanpa menghakimi.

Persekitaran yang selamat untuk berkongsi perasaan sering menjadi langkah pertama ke arah pemulihan.

Membina generasi yang sejahtera 

Sekolah juga perlu terus menjadi ruang yang menghargai setiap pelajar. Apabila murid berasa dihormati, diterima dan diberi peluang untuk berkembang mengikut potensi masing-masing, mereka akan membina keyakinan diri yang lebih kukuh.

Pada akhirnya, kejayaan pendidikan tidak seharusnya diukur melalui keputusan peperiksaan semata-mata.

Lebih penting, kita perlu melahirkan generasi yang sihat dari segi emosi, mempunyai daya tahan menghadapi cabaran serta mampu membina hubungan yang positif dengan orang lain.

Kerana melindungi kesihatan mental generasi masa depan bukan sekadar tanggungjawab sekolah atau kerajaan.

Ia merupakan tanggungjawab seluruh masyarakat demi memastikan anak-anak hari ini membesar sebagai insan yang bukan sahaja bijak, tetapi juga sejahtera dari segi mental dan emosi. 

*Norashikin binti Azmi adalah pembaca Media Selangor dan bertugas sebagai Pegawai Tadbir di Penerbit Universiti Islam Selangor (UIS). 
Kategoripendapat

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.