SHAH ALAM, 8 OKT: Penduduk di daerah Klang, khususnya kawasan berhampiran pantai dan pesisir sungai, diminta berwaspada susulan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku selama enam hari bermula esok hingga 14 Oktober.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang memaklumkan paras air laut di Stesen Pelabuhan Klang diramal mencapai ketinggian maksimum 5.4 meter sepanjang tempoh berkenaan.
Berdasarkan jadual yang dikongsikan Pejabat Daerah dan Tanah Klang di Facebook, paras air laut dijangka mencecah 5.2 meter pada Jumaat, sebelum meningkat kepada 5.4 meter selama tiga hari berturut-turut mulai Sabtu hingga Isnin.
Bacaan itu diramal menurun kepada 5.2 meter pada Selasa sebelum mencapai 5.0 meter pada Rabu, 14 Oktober.
Fenomena berkenaan dijangka berlaku dua kali sehari, iaitu pada sebelah pagi dan petang, dengan waktu kemuncak berbeza mengikut hari.
Dalam tempoh sama, ribut petir turut diramal berlaku di beberapa kawasan di Klang, khususnya pada esok hingga 13 Oktober, sekali gus memerlukan orang ramai lebih peka terhadap perubahan cuaca.
Sehubungan itu, penduduk dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, membuat persediaan awal dan memantau keadaan persekitaran sepanjang fenomena air pasang besar.
Orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Bencana Daerah Klang di 03-3382 9292 sekiranya berlaku kecemasan.
Maklumat ramalan berkenaan adalah berdasarkan data Jabatan Meteorologi Malaysia dan Pusat Hidrografi Nasional.








