Jerebu: Shah Alam, Klang catat IPU tidak sihat

1 Okt 2026, 12:17 AM
Jerebu: Shah Alam, Klang catat IPU tidak sihat

SHAH ALAM, 1 OKT: Kualiti udara di Shah Alam dan Klang berada pada paras tidak sihat dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) masing-masing 154 dan 152 setakat jam 8 pagi ini.

Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Shah Alam merekodkan bacaan tertinggi di Selangor, diikuti Klang, manakala Petaling Jaya dan Banting masing-masing berada pada tahap sederhana dengan IPU 99.

Kuala Selangor pula mencatat IPU 77, turut dikategorikan pada tahap sederhana.

Secara keseluruhan, lima kawasan di seluruh negara berada pada paras tidak sihat, dengan tiga lagi lokasi ialah Nilai di Negeri Sembilan (153), Putrajaya (152) dan Port Dickson, Negeri Sembilan (122).

Sebanyak 47 kawasan lain berada pada tahap sederhana, antaranya Batu Muda, Kuala Lumpur dengan IPU 100; Bandaraya Melaka (99); Bukit Rambai (96); Alor Gajah (89); Balok Baru, Kuantan (86); serta Larkin dan Pasir Gudang di Johor masing-masing 85.

Dalam masa sama, enam kawasan mencatat kualiti udara baik dan tiada lokasi berada pada tahap sangat tidak sihat.

Antara bacaan terendah direkodkan di Miri, Sarawak dengan IPU 51, diikuti Kimanis, Sabah (53), Bintulu, Sarawak (55), Kangar, Perlis (56) serta Seberang Jaya, Pulau Pinang dan Keningau, Sabah masing-masing 57.

Mengikut kategori IPU, bacaan antara sifar hingga 50 diklasifikasikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, manakala 201 hingga 300 sangat tidak sihat.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.