SAR pemancing hilang One Fathom Bank ditangguh, sambung 7 pagi esok

18 Sep 2026, 12:20 PM
SAR pemancing hilang One Fathom Bank ditangguh, sambung 7 pagi esok

SHAH ALAM, 18 SEPT: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi pemancing yang masih hilang di perairan One Fathom Bank berhampiran Pulau Ketam ditangguhkan pada jam 7 malam ini dan akan disambung semula jam 7 pagi esok.

Pegawai Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Leftenan Nur Affiq Nor Hisham berkata setakat jam 5.42 petang tadi, tiada petunjuk baharu diperoleh mengenai Raja Muhd Rozi, mangsa terakhir yang masih hilang.

“Untuk hari kelima ini, mangsa masih belum ditemukan. Operasi SAR ditangguhkan pada jam 7 malam dan akan disambung semula esok pada jam 7 pagi,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Menurutnya, keadaan jerebu menjadi antara cabaran utama sepanjang operasi apabila jarak penglihatan terhad menyukarkan usaha pencarian menggunakan aset laut dan udara.

Selain itu, ribut yang berlaku di beberapa kawasan laut turut menjejaskan pergerakan serta pemantauan pasukan penyelamat.

“Cabaran utama pasukan ketika ini ialah keadaan jerebu yang mengehadkan jarak penglihatan, sekali gus menyukarkan operasi pencarian menggunakan aset laut dan udara, selain ribut di beberapa kawasan perairan," katanya.

Sebelum ini, sebuah bot dinaiki tujuh pemancing termasuk tekong di perairan Klang pada Ahad lalu dipercayai terbalik selepas dilambung ombak setinggi kira-kira empat meter.

Kejadian berlaku ketika keadaan cuaca dilaporkan ribut dan ombak kuat melanda kawasan perairan berkenaan.

Operasi SAR digerakkan selepas polis menerima laporan kira-kira jam 2.30 pagi Isnin apabila kumpulan pemancing itu tidak kembali selepas keluar dari Jeti Sementa, Sungai Kapar, Klang.

Siasatan awal mendapati kumpulan berkenaan termasuk tekong bertolak dari jeti itu pada jam 8.20 pagi Ahad dengan menaiki bot fiber dan dijangka pulang pada petang hari sama.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.