SHAH ALAM, 5 SEPT: Tiga premis makanan di sekitar Sepang diarah tutup selama 14 hari selepas pemeriksaan mendapati tahap kebersihannya tidak memuaskan, termasuk kehadiran lipas, lalat dan tikus yang sangat ketara.
Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) memaklumkan tujuh kompaun turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan hasil pemeriksaan terhadap 118 premis makanan.
“Ketika pemeriksaan dilakukan, didapati masalah LILATI (lipas, lalat, tikus) yang sangat ketara serta tidak memenuhi tahap kebersihan yang ditetapkan.

“Tindakan pemeriksaan dan penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kebersihan premis makanan sentiasa berada pada tahap yang baik.
“Ia juga bagi menjamin keselamatan dan kualiti makanan kepada masyarakat,” katanya.
Menurutnya, tindakan kompaun itu dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (Majlis Perbandaran Sepang) 2007.







