SHAH ALAM, 19 SEPT: Seramai 26 peniaga di Tapak Penjaja Sementara Seksyen U3 menerima Permit Penjaja Sementara daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 17 September lalu.
Permit berkenaan disampaikan Ahli Majlis MBSA merangkap Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 17, Ooi Haw Voon.
Menurut MBSA, semua peniaga yang menerima permit itu telah menghadiri Taklimat Pra Pelesenan pada 23 Julai lalu sebagai persediaan sebelum menjalankan aktiviti perniagaan.
“Taklimat berkenaan memberi penerangan berkaitan syarat permit, peraturan menjalankan aktiviti perniagaan serta tanggungjawab peniaga dalam memastikan kebersihan, keselamatan dan ketenteraman di lokasi perniagaan sentiasa terpelihara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

MBSA turut memaklumkan pengeluaran permit berkenaan merupakan sebahagian usaha memastikan aktiviti penjajaan di kawasan berkenaan dapat dijalankan secara lebih tersusun dan mematuhi syarat ditetapkan.
Katanya, urusan permit penjaja akan terus dilaksanakan secara teratur dengan memberi penerangan serta panduan sewajarnya kepada peniaga.
"Langkah itu bagi memastikan aktiviti perniagaan di tapak penjaja sementara dapat dijalankan dalam keadaan bersih, selamat dan teratur," katanya.







