SHAH ALAM, 19 SEPT: Pemohon MyKad generasi baharu dibenarkan berambut warna semula jadi dan memakai tudung berwarna gelap, tidak semestinya hitam.
Pengarah Bahagian Kad Pengenalan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Muhammad Asyraf Sukardi berkata warna rambut yang tidak terlalu ketara masih dibenarkan, termasuk bagi individu yang mempunyai warna rambut tertentu secara semula jadi.
“Pada asasnya kita benarkan rambut yang berwarna, sekurang-kurangnya warna yang tidak terlalu ketara.
“Contohnya dia memang keturunan Eurasian, kita benarkan, tidak ada masalah. Tetapi bukanlah rambutnya blonde (perang), bukan totally blonde. Warna-warna yang lebih kepada natural," katanya menerusi video yang dikongsi di Facebook JPN.
Beliau menjelaskan perkara itu susulan isu rambut berwarna pada kad pengenalan baharu yang tular baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, JPN tidak menetapkan pemohon perlu memakai tudung hitam ketika mengambil gambar MyKad.
Sebaliknya, pemohon disaran memilih tudung warna gelap bagi memastikan imej tudung dapat dilihat dengan jelas kerana latar belakang gambar berwarna putih.
“Tudung kita tidak cakap warna hitam. Kita kata berwarna gelap sebab asasnya latar belakang kita di belakang adalah warna putih.
“Kalau dia pakai satu tudung yang cerah, kita tidak akan nampak tudung tersebut dalam gambar,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata MyKad generasi baharu turut dilengkapi 53 ciri keselamatan berbanding 23 sebelum ini.
“Kalau dulu kita ada 23 ciri keselamatan, sekarang kita ada 53 ciri keselamatan.
“Ciri itu semua tidak boleh dibaca oleh mana-mana telefon pintar. Kita hanya boleh baca menggunakan alat dan aplikasi yang dibenarkan oleh JPN sahaja,” katanya.
Menurutnya, pengesahan identiti pemegang MyKad turut boleh dilakukan menerusi pengecaman wajah dengan kebenaran individu berkenaan.
Beliau turut memaklumkan fungsi Touch ’n Go secara sentuhan tidak lagi disediakan dalam MyKad generasi baharu.
Katanya, pengguna yang mahu menggunakan kemudahan berkenaan boleh mendapatkan kad NFC yang disediakan oleh Touch ’n Go.







