Guru ada hubungan terlarang dengan pelajar diasingkan sepanjang siasatan

24 Sep 2026, 9:03 AM
Guru ada hubungan terlarang dengan pelajar diasingkan sepanjang siasatan

SHAH ALAM, 24 SEPT: Guru yang disiasat berhubung dakwaan gangguan seksual atau hubungan terlarang dengan murid tidak akan ditempatkan di sekolah sepanjang siasatan berlangsung.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, guru terbabit akan dipindahkan sementara ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Katanya, penempatan itu merupakan langkah awal Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengelak guru berkenaan terus berhubung dengan murid yang terbabit dalam kes.

"Kalau ada dakwaan berkaitan gangguan seksual dengan anak murid, memang guru itu kita akan siasat dan untuk tindakan awal, kita akan asingkan dengan murid.

"Maknanya guru itu tidak akan ditugaskan di sekolah lagi," katanya seperti dilapor BH.

Beliau berkata demikian susulan laporan mengenai seorang guru wanita yang didakwa mempunyai hubungan terlarang dengan pelajar lelaki berusia 17 tahun.

Kes itu dikatakan diketahui keluarga pelajar dan pihak sekolah selepas video membabitkan guru terbabit dan remaja berkenaan tersebar.

Sumber mendakwa hubungan berkenaan berlaku sejak tahun lalu, termasuk pertemuan di sebuah hotel di Seri Kembangan dan kediaman guru terbabit yang berusia 30-an.

Pelajar itu turut mendakwa guru berkenaan pada awalnya mengajaknya keluar berjalan dan makan sebelum membawanya ke hotel berkenaan.

Guru tersebut kemudiannya didakwa melakukan perbuatan seksual terhadap pelajar itu serta merakam kejadian berkenaan menggunakan telefon bimbit.

Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata, status guru terbabit boleh berubah kepada tahan kerja sekiranya laporan polis dibuat dan kes berkenaan dibawa ke peringkat sebutan mahkamah.

"Misalnya ada dakwaan di peringkat polis, jadi kes ini akan mengikut prosedur jenayah. Kemudian jika ada sehingga ke sebutan kes, kita akan tahan kerja," katanya.

Beliau berkata, dalam tempoh tahan kerja itu, guru berkenaan hanya akan menerima separuh daripada gaji.

Katanya, jika mahkamah mendapati guru terbabit bersalah, hukuman akan ditentukan mengikut proses perundangan, manakala KPM boleh mengambil tindakan tatatertib termasuk pemberhentian kerja.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.