Sijil kelahiran lama masih sah, tidak perlu tukar kepada baharu

12 Okt 2026, 7:44 AM
Sijil kelahiran lama masih sah, tidak perlu tukar kepada baharu

GUA MUSANG, 12 OKT: Sijil kelahiran lama, termasuk yang dikeluarkan dalam bentuk kertas dan tulisan tangan masih sah digunakan dan tidak perlu ditukar kepada format baharu, kata Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Badrul Hisham Alias.

Beliau berkata orang ramai yang ingin mendapatkan sijil kelahiran dalam format baharu boleh membuat permohonan cabutan di mana-mana pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan bayaran RM5.

“Sijil lahir tidak pernah tak sah, sama ada generasi lama ataupun generasi baharu,” katanya pada sidang media selepas Program Literasi Pendaftaran sempena sambutan Hari Pendaftaran Negara ke-78 peringkat Kelantan di Pos Balar di sini hari ini.

Badrul Hisham berkata sijil kelahiran yang dikeluarkan sejak dahulu masih boleh digunakan, termasuk dokumen lama berbentuk kad kertas yang mempunyai tulisan tangan.

Beliau berkata pemilik dokumen berkenaan boleh mendapatkan cabutan sijil kelahiran dalam format baharu sekiranya memerlukan, dengan proses permohonan boleh diselesaikan dalam tempoh kurang lima minit.

Beliau berkata kemudahan itu membolehkan orang ramai mendapatkan dokumen dalam format semasa tanpa perlu bimbang bahawa sijil kelahiran lama mereka tidak lagi sah.

Badrul Hisham berkata dokumentasi kelahiran merupakan asas penting bagi memastikan setiap individu mempunyai identiti yang sah di sisi undang-undang, sekali gus membolehkan mereka menikmati pelbagai hak dan kemudahan sebagai rakyat Malaysia.

Beliau berkata pendaftaran kelahiran dan pemilikan dokumen pengenalan diri perlu diberi perhatian bagi mengelakkan seseorang tercicir daripada sistem dokumentasi negara.

"JPN sentiasa berusaha mendekati masyarakat, termasuk komuniti Orang Asli di kawasan pedalaman melalui program turun padang dan kerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan mereka mendapat akses kepada perkhidmatan pendaftaran dan dokumentasi,” katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.