SHAH ALAM, 11 OKT: Seramai 4,291 calon bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2026 bermula esok hingga 2 November depan di 131 pusat peperiksaan seluruh negara.
Lembaga Peperiksaan (LP) memaklumkan seramai 904 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan berkenaan.
Menurutnya, semua calon diingatkan supaya merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat berkaitan tarikh, waktu, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi.
"Jadual waktu peperiksaan STAM Tahun 2026 boleh dimuat turun dari portal rasmi Lembaga Peperiksaan melalui pautan lp.moe.gov.my," katanya dalam kenyataan hari ini.
LP turut mengingatkan calon supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan masing-masing.
"Calon juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta peraturan ditetapkan bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar dan teratur," katanya.
Dalam pada itu, LP memaklumkan pihaknya bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bencana dan penularan penyakit berjangkit seperti Influenza-Like Illness (ILI) sepanjang peperiksaan berlangsung.
Menurutnya, langkah persediaan dan mekanisme sewajarnya turut melibatkan kerjasama dengan agensi berkaitan bagi menjaga keselamatan serta kebajikan calon dan petugas peperiksaan.
"Calon dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan segera sekiranya terlibat dan terkesan dengan bencana.
"Calon juga boleh menghubungi bilik gerakan LP dan JPN di seluruh negara seperti di lampiran," katanya.
LP turut menegaskan komitmennya memastikan peperiksaan STAM 2026 dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur.







