Jerebu: KPM arah sekolah pantau IPU, lindungi murid

7 Okt 2026, 9:15 AM
Jerebu: KPM arah sekolah pantau IPU, lindungi murid

SHAH ALAM, 7 OKT: Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan bawah kementerian memantau rapi situasi jerebu di lokasi masing-masing.

KPM berkata semua aktiviti luar bilik darjah termasuk sukan dan perhimpunan perlu dihentikan serta-merta di kawasan yang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.

“Bagi kawasan yang bacaan IPU melebihi 100, semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan murid hendaklah dihentikan.

“Bagi kawasan yang bacaan IPU melebihi 200, semua sekolah yang berada dalam kawasan atau daerah hendaklah ditutup dengan serta-merta,” menurut kenyataan itu hari ini.

Susulan keadaan semasa, institusi pendidikan bawah seliaan JPN Johor di daerah Batu Pahat ditutup mulai hari ini sehingga keadaan kembali selamat dan arahan selanjutnya dikeluarkan.

Sepanjang penutupan, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan mengikut kesesuaian serta ketetapan semasa dengan mengambil kira faktor keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid.

KPM turut mengarahkan sekolah menangguhkan aktiviti luar sekiranya cuaca terlalu panas dan berjerebu serta memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada keadaan tersebut.

Sekolah juga perlu memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi, selain menggalakkan murid membawa air minuman sendiri dan mengambil air dalam kuantiti sesuai.

Bagi murid asrama, bekalan air minuman perlu disediakan sekiranya keadaan kritikal dan tiada sumber lain mudah diperoleh.

“KPM akan memastikan aspek kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya sentiasa diberikan keutamaan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

KPM turut mengingatkan JPN, PPD dan semua institusi pendidikan supaya sentiasa memantau bacaan IPU serta status terkini menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS).

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.