
SHAH ALAM, 21 SEPT: Pengagihan peruntukan kepada setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu berasaskan jumlah dan kepadatan pendudukan dan bukan diberikan secara sama rata, kata Danial Al-Rashid.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga itu mencadangkan mekanisme itu dipertimbangkan menjelang Belanjawan Selangor 2027 bagi memenuhi keperluas khususnya kawasan populasi tinggi.
"Saya mohon kalau boleh dipertimbangkan sekali lagi dengan mengambil kira keperluan tambahan kerana kita sudah ada pengundi 18 tahun, pembangunan perumahan baharu yang menyebabkan kawasan kita semakin padat.
"Ia tidak boleh setiap DUN menerima jumlah yang sama rata kerana keperluan kita berbeza," katanya dalam program SKOP Belanjawan Selangor 2027 terbitan Media Selangor, baru-baru ini.

Mengambil contoh Batu Tiga, Danial menjelaskan kawasan yang padat dengan anggaran 300,000 penduduk itu sentiasa mencatatkan permintaan tinggi bagi pelbagai bantuan dan inisiatif Kerajaan Negeri.
Menurutnya, keadaan itu menjadi antara cabaran utama di Batu Tiga kerana permohonan bantuan dan pelbagai inisiatif kerajaan negeri yang tinggi namun tidak dapat dipenuhi berikutan kekangan peruntukan.
"Permohonannya terlalu banyak. Saya percaya memang akan ada yang terpaksa kami tolak. Ada yang mendapat bantuan menerusi inisiatif Kerajaan Negeri, manakala sebahagiannya kami bantu melalui pejabat DUN," katanya.

Selangor sebelum ini telah mengambil langkah menambah peruntukan berdasarkan jumlah pengundi, namun pertambahan populasi susulan pembangunan perumahan baharu serta pelaksanaan Undi18 menyebabkan keperluan di kawasan seperti Batu Tiga terus meningkat.
Justeru, beliau berharap kaedah agihan peruntukan dapat terus ditambah baik dengan mengambil kira kepadatan penduduk supaya bantuan dan pelbagai inisiatif Kerajaan Negeri dapat disalurkan mengikut keperluan sebenar setiap DUN.
Isu jurang peruntukan DUN timbul berikutan pertambahan pesat jumlah pemilih di kawasan bandar dan pinggir bandar, terutamanya selepas pendaftaran pemilih secara automatik serta pelaksanaan dasar Undi18.
Pertumbuhan kawasan perumahan baharu yang pesat turut menyumbang kepada kepadatan demografi. Ia sekali gus meningkatkan keperluan dana untuk bantuann kebajikan asas, pembangunan komuniti dan penyelenggaraan infrastruktur awam.
Untuk rekod, Kerajaan Selangor memperuntuk RM3.23 bilion dalam belanjawan tahun 2026 bagi melaksanakan perbelanjaan mengurus dan pembangunan negeri.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM1.86 bilion atau 57.6 peratus diagih untuk perbelanjaan mengurus, manakala RM1.37 bilion atau 42.4 peratus bagi pembangunan.
Belanjawan negeri dibentangkan secara tahunan oleh Menteri Besar di Dewan Negeri Selangor dan pembentangan rasmi bagi Belanjawan Selangor 2027 dijadualkan berlangsung pada November tahun ini.








