Lesen tamat tempoh, kilang tauhu kering kotor di Tanjung Sepat diarah tutup - MPKL

18 Sep 2026, 9:01 AM
Lesen tamat tempoh, kilang tauhu kering kotor di Tanjung Sepat diarah tutup - MPKL

SHAH ALAM, 18 SEPT: Sebuah kilang memproses tauhu kering di Tanjung Sepat diarahkan tutup selepas pemeriksaan bersepadu oleh beberapa agensi penguat kuasa mendapati premis berkenaan melakukan pelbagai ketidakpatuhan, semalam.

Pemeriksaan oleh Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) turut mendapati lesen premis berkenaan telah tamat tempoh.

MPKL menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, antara ketidakpatuhan yang dikesan termasuklah tahap kebersihan premis yang tidak memuaskan serta isu berkaitan pengurusan sisa, keselamatan makanan dan pematuhan terhadap keperluan alam sekitar.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa ketidakpatuhan di premis, antaranya lesen premis telah tamat tempoh dan belum diperbaharui, selain tahap kebersihan premis yang didapati tidak memuaskan.

“Pemeriksaan turut mengenal pasti beberapa isu berkaitan pengurusan sisa, keselamatan makanan dan pematuhan terhadap keperluan alam sekitar,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) bersama beberapa agensi berkaitan menjalankan pemeriksaan bersepadu di sebuah premis memproses tauhu kering di Tanjung Sepat pada 17 September 2026. Foto Facebook Majlis Perbandaran Kuala Langat

Menurut MPKL, notis kesalahan turut dikeluarkan berkaitan kebersihan premis, pembuangan cecair kotor serta pelepasan sisa air pengilangan ke parit luar.

Dalam operasi sama, JAS mengeluarkan Notis Field Citation dan menahan operasi beberapa kelengkapan di premis berkenaan, termasuk satu unit dandang (boiler) serta dua unit mesin pengisar.

PKD pula mengeluarkan Notis Perintah Penutupan Premis, Notis Arahan Pembersihan serta notis kesalahan berkaitan keselamatan dan kebersihan makanan.

MPKL berkata, tindakan bersepadu itu merupakan usaha berterusan agensi penguat kuasa bagi memastikan premis perniagaan mematuhi undang-undang, selain menjaga kebersihan, keselamatan makanan dan kelestarian alam sekitar.

“Pemeriksaan bersepadu ini merupakan usaha berterusan agensi penguat kuasa dalam memastikan premis perniagaan mematuhi undang-undang, menjaga tahap kebersihan, menjamin keselamatan makanan serta memastikan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) bersama beberapa agensi berkaitan menjalankan pemeriksaan bersepadu di sebuah premis memproses tauhu kering di Tanjung Sepat pada 17 September 2026. Foto Facebook Majlis Perbandaran Kuala Langat

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.