SHAH ALAM, 17 SEPT: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti dakwaan kebocoran maklumat peribadi seorang pengadu yang membuat aduan rasmi kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Jabatan korporatnya memaklumkan MPS turut mengenal pasti punca serta keadaan sebenar selain menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku kakitangannya.
“MPS memandang serius dakwaan tersebut dan sentiasa mengambil berat aspek kerahsiaan serta pengendalian maklumat pengadu yang diterima melalui saluran aduan rasmi.
“Tindakan tegas akan diambil berdasarkan peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya menerusi kenyataan.
Semalam, menerusi media sosial seorang penduduk mendakwa maklumat dirinya sebagai pengadu kepada MPS bocor sehingga pemilik sebuah kedai yang diadukannya datang ke rumah bagi mempersoalkan tindakannya.
Raku Nadarajah, 36, berkata pemilik kedai terbabit mendakwa memperoleh maklumat mengenainya daripada pihak MPS ketika membuat bayaran saman di kaunter.
Menurutnya, kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu menyebabkan beliau menghubungi polis kerana berasa terancam selepas didatangi tiga individu sebelum jumlah mereka bertambah kepada lima orang.
Raku memberitahu, enam aduan sudah dibuat sejak Mac tahun ini berhubung isu parkir di kawasan berhampiran sebuah kedai di Jalan Welman, namun mendakwa tiada perubahan berlaku.
Menurutnya, petak parkir motosikal di hadapan kedai digunakan untuk menjalankan perniagaan menyebabkan motosikal diletakkan di petak parkir kereta sehingga menyumbang kesesakan.







