Maklumat pengadu MPS didakwa bocor, penduduk mahu pihak berkuasa itu bertanggungjawab

15 Sep 2026, 3:20 PM
Maklumat pengadu MPS didakwa bocor, penduduk mahu pihak berkuasa itu bertanggungjawab

SHAH ALAM, 15 SEPT: Seorang penduduk mendakwa maklumat dirinya sebagai pengadu kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bocor sehingga pemilik sebuah kedai yang diadukannya datang ke rumah bagi mempersoalkan tindakannya.

Raku Nadarajah, 36, berkata pemilik kedai terbabit mendakwa memperoleh maklumat mengenainya daripada pihak MPS ketika membuat bayaran saman di kaunter.

Menurutnya, kejadian kira-kira jam 12 tengah hari ini menyebabkan beliau menghubungi polis kerana berasa terancam selepas didatangi tiga individu sebelum jumlah mereka bertambah kepada lima orang.

"Kalau ada orang buat aduan, sepatutnya maklumat itu tidak boleh dibocorkan. Kalau nak kongsi, kena tanya saya dahulu sama ada saya beri kebenaran atau tidak. Tapi ini (MPS) bagi information sampai dia datang rumah saya. Itu sudah jadi ugutan," katanya kepada Media Selangor.

Katanya, beliau juga akan membuat laporan polis secara rasmi kerana bimbang terhadap keselamatan diri susulan kejadian terbabit.

Raku berkata, beliau membuat aduan sebanyak enam kali sejak Mac tahun ini berhubung isu parkir di kawasan berhampiran sebuah kedai di Jalan Welman, namun mendakwa tiada perubahan berlaku.

Menurutnya, petak parkir motosikal di hadapan kedai digunakan untuk menjalankan perniagaan, manakala motosikal yang diletakkan di petak parkir kereta menyebabkan kenderaan terpaksa diletakkan secara berganda sehingga menyumbang kepada kesesakan.

"MPS cakap pemilik sewa tapak, tetapi dia sewa tapak kereta bukan motosikal. Sebab tapak motosikal tidak boleh disewa.

"Kadang-kala dia kena saman, kadang-kala tak, tapi tiada perubahan sebab dia masih menggunakan tempat itu untuk menjalankan perniagaan dia," jelasnya.

Beliau turut mempersoalkan dakwaan pemilik kedai bahawa sepanjang kira-kira 30 tahun menjalankan perniagaan, tiada individu pernah membuat aduan terhadapnya.

"Dia kata selama 30 tahun berniaga, tak ada orang buat aduan. Bagi saya itu menunjukkan MPS selama 30 tahun tak buat apa-apa," katanya.

Susulan kejadian itu, Raku mahu MPS bertanggungjawab dengan mengenal pasti pihak yang didakwa membocorkan maklumatnya selain memberikan permohonan maaf secara rasmi.

"Saya nak tahu siapa yang bocorkan maklumat saya, saya nak mereka dipecat, saya juga mahu permohonan maaf rasmi dan mereka buat kerja," katanya.

Menurutnya, kebocoran maklumat pengadu juga boleh menyebabkan orang ramai takut untuk membuat aduan kepada PBT kerana bimbang berdepan situasi sama.

"Ramai orang tak buat aduan sebab mereka takut. Bukan semua orang mampu melawan. Saya pun takut, sebab itu saya panggil polis. Saya buat aduan sebab mengharapkan PBT lindungi saya tapi mereka beri informasi.

"Saya mahu MPS bertanggungjawab, bukan sekadar beri amaran," katanya.

Raku turut mendakwa terdapat beberapa individu lain yang berkongsi pengalaman sama mengenai maklumat pengadu yang didakwa bocor menerusi ruangan komen di media sosial.

Dalam pada itu, beliau berharap MPS lebih proaktif menyelesaikan masalah penduduk tanpa hanya menunggu aduan dibuat.

"Sepatutnya pihak majlis kena buat kerja sendiri, bukan tunggu orang buat aduan. Kalau PBT buat kerja, rakyat tak payah buat sebarang aduan.

Media Selangor sedang mendapatkan maklum balas daripada MPS berhubung dakwaan kebocoran maklumat pengadu.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.