PETALING JAYA, 2 NOV: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengutip RM6.88 juta hasil pelaksanaan caj beg plastik sehingga September tahun ini bagi menyokong pelbagai inisiatif kelestarian alam sekitar.
Datuk Bandar Petaling Jaya Dato' Mohd Yazid bin Sairi berkata, daripada jumlah kutipan itu, 40 peratus disalurkan ke akaun amanah MBPJ manakala baki 60 peratus diserahkan kepada Kerajaan Negeri.
Menurutnya, sebanyak RM1.17 juta daripada kutipan berkenaan telah digunakan untuk melaksanakan 14 inisiatif termasuk program kitar semula, pendidikan alam sekitar dan kempen kesedaran komuniti.
“Pelaksanaan Recycle and Redeem ini membolehkan hasil kutipan caj beg plastik diterjemahkan kepada tindakan di peringkat komuniti daripada mengurangkan penggunaan plastik sekali guna kepada menggalakkan pengasingan dan kitar semula sisa serta menyokong peniaga tempatan.
“MBPJ akan terus menggerakkan pendekatan berasaskan komuniti dalam usaha mengurangkan sisa ke tapak pelupusan, membudayakan amalan kitar semula dan menyokong aspirasi Petaling Jaya sebagai bandar raya rendah karbon, mampan dan berdaya tahan,” katanya pada Mesyuarat Majlis Bil.10 Tahun 2026 pada 30 Oktober lalu.
Menerusi dua fasa program Recycle and Redeem di Taman Medan pada 28 Jun dan SS2 pada 1 Julai lalu, seramai 750 peserta mengumpulkan sebanyak 3,410 kilogram bahan kitar semula.
Program di Taman Medan merekodkan penyertaan 350 penduduk dengan kutipan 1,251 kilogram bahan kitar semula, manakala 400 peserta di SS2 mengumpulkan 2,159 kilogram.
Kedua-dua program menawarkan kupon bernilai RM16,500 dan RM18,000, menjadikan keseluruhan RM34,500 kupon ditebus peserta.
MBPJ turut merancang meneruskan program berkenaan menerusi fasa ketiga yang akan diadakan di Pasar Tani Seksyen 3.
Usaha itu merupakan antara pendekatan pihak berkuasa tempatan berkenaan menggalakkan penglibatan masyarakat dalam amalan kitar semula, selain memanfaatkan hasil kutipan caj beg plastik untuk program berkaitan kelestarian.







