Defisit RM21 juta, MBSJ tidak naikkan cukai pintu pada 2027

15 Sep 2026, 10:00 AM
Defisit RM21 juta, MBSJ tidak naikkan cukai pintu pada 2027

SHAH ALAM, 15 SEPT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) tidak akan menaikkan kadar cukai pintu pada 2027 walaupun mengunjurkan defisit bajet sebanyak RM21 juta.

Pengarah Jabatan Perbendaharaannya, Mohd Fadzil Mahat berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sebaliknya akan meningkatkan kutipan hasil menerusi penguatkuasaan lebih tegas, termasuk mendapatkan semula tunggakan cukai pintu berjumlah RM65 juta.

“Kami mahu meningkatkan hasil, tetapi tidak akan menaikkan kadar cukai pintu kerana ia hanya akan membebankan orang ramai.

“Sebaliknya, kami akan mempergiatkan penguatkuasaan dan mempertimbangkan pelantikan ejen luar untuk mengutip tunggakan, serta audit yang konsisten bagi mengurangkan pembaziran,” katanya seperti dilapor StarMetro.

Beliau berkata demikian ketika sesi libat urus di Dewan Serbaguna USJ7, Subang Jaya bagi membentangkan cadangan Bajet MBSJ 2027, semalam.

Sementara itu, Datuk Bandar Subang Jaya, Dato' Rumaizi Baharin berkata MBSJ dijangka menjana hasil RM405 juta pada 2027 berbanding perbelanjaan RM426 juta, sekali gus menghasilkan defisit sebanyak RM21 juta.

Datuk Bandar Subang Jaya, Dato' Rumaizi Baharin ketika berucap pada sesi libat urus cadangan Bajet MBSJ 2027 di Subang Jaya. Foto Facebook MBSJ

Menurutnya, anggaran hasil itu merangkumi RM274 juta daripada cukai pintu, RM119 juta daripada sumber bukan cukai termasuk sewaan, perkhidmatan dan yuran pelan pembangunan serta RM11.7 juta peruntukan kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Perbelanjaan MBSJ dianggarkan sebanyak RM287.5 juta bagi kos pengurusan dan RM139 juta untuk pembangunan.

“MBSJ kini mempunyai tunggakan cukai pintu berjumlah RM65 juta yang belum dijelaskan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Fadzil berkata MBSJ turut mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap pemilik hartanah yang gagal menjelaskan tunggakan sebagai sebahagian usaha meningkatkan kutipan hasil.

Katanya, pelantikan ejen pihak ketiga juga dipertimbangkan memandangkan skop kerja kutipan tunggakan yang besar.

“Sebagai agensi kerajaan, kami mempunyai kewajipan untuk mengutip hasil dan menggunakan dana tersebut bagi mengekalkan perkhidmatan kami,” katanya.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng dan Timbalan Datuk Bandar MBSJ, Mohd Zulkurnain Che Ali.

Kategoripbt

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.