Pameran 'TERHUBUNG' angkat kisah di sebalik lensa wartawan

27 Jun 2026, 12:34 PM
Pameran 'TERHUBUNG' angkat kisah di sebalik lensa wartawan
Pameran 'TERHUBUNG' angkat kisah di sebalik lensa wartawan
Pameran 'TERHUBUNG' angkat kisah di sebalik lensa wartawan
Pameran 'TERHUBUNG' angkat kisah di sebalik lensa wartawan

KUALA LUMPUR, 27 JUN: Pameran TERHUBUNG bukan sekadar mempamerkan foto dan dokumentari visual, malah membawa pengunjung menyelami kisah di sebalik setiap karya wartawan, sekali gus mendekatkan masyarakat dengan realiti tugas pengamal media.

Pengarah Yayasan Telekom Malaysia (TM), Ainol Shaharina Sahar, berkata pameran itu selari dengan teras pendidikan Yayasan TM yang bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai peranan media menerusi fotografi dan penceritaan visual.

Pengarah Yayasan TM, Ainol Shaharina Sahar ditemui media ketika pameran Fotografi Kewartawanan dan Dokumentari di Muzium Telekomunikasi Negara, Kuala Lumpur pada 27 Jun 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

"Pameran ini memberi pendidikan kepada masyarakat tentang cerita di sebalik setiap karya media, sekali gus mewujudkan impak serta empati yang lebih besar dalam kalangan pengunjung.

"Ada gambar yang mungkin tidak dapat diterbitkan di media arus perdana atas kekangan tertentu, tetapi dipamerkan di sini. Setiap karya itu mempunyai kisah yang wajar difahami," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pameran berkenaan di Muzium Telekom Negara, di sini, hari ini.

Pameran TERHUBUNG menghimpunkan hasil fotografi dan dokumentari visual wartawan yang mengetengahkan peranan media sebagai medium merakam, menyampaikan serta menghubungkan pelbagai kisah masyarakat daripada latar belakang berbeza.

Mengulas perkembangan teknologi, Ainol berkata Yayasan TM menyokong penggunaan kecerdasan buatan (AI) sebagai alat yang membantu memudahkan tugasan manusia, namun teknologi itu tidak mampu menggantikan nilai kemanusiaan.

"AI hanya memberikan jawapan berdasarkan arahan yang diterima, tetapi ia tidak mampu merasai sesuatu seperti manusia," katanya.

Kurator Kongsi Hub, Syaiful Redzuan Md Noor.

Sementara itu, Kurator Kongsi Hub, Syaiful Redzuan Md Noor, berkata pameran yang berlangsung dari 26 hingga 28 Jun itu diilhamkan bagi memberi pemahaman kepada orang ramai mengenai proses kerja pengamal media yang jarang diketahui.

Beliau berkata hampir semua agensi media di Malaysia dijemput menyertai pameran itu, namun setiap penyertaan melalui proses kuratorial bagi memilih karya yang paling berkesan dan memberi impak.

"Kami mahu masyarakat melihat apa yang berlaku di sebalik tabir kerja pengamal media, bukan sekadar hasil yang dipaparkan di skrin atau akhbar," katanya.

Ahmad Aqil Mohd Norazwan.

Bagi pelajar jurusan fotografi Universiti Selangor (UNISEL), Ahmad Aqil Mohd Norazwan, 19, pameran itu membuka perspektif baharu mengenai proses menghasilkan laporan bergambar.

"Di sini saya belajar bahawa menghasilkan laporan bergambar bukan boleh disiapkan dalam sehari. Ada yang mengambil masa sehingga dua bulan. Dari situ kita belajar cara mendekati orang, berkomunikasi dan membuat kajian," katanya.

Nurr Edrinna Junaidi

Pelajar jurusan kewartawanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Nurr Edrinna Junaidi, 22, pula berkata perkongsian pengalaman sebenar pengamal media menerusi forum memberi gambaran lebih jelas tentang cabaran dunia kewartawanan.

"Kita lebih mudah tertarik apabila mendengar pengalaman sebenar. Barulah kita sedar apa yang berlaku di lapangan dan kisah di sebalik sesuatu gambar. Program ini sangat baik untuk membuka minda masyarakat," katanya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.