Nepal hargai bantuan US$1 juta Malaysia, sokongan SMART

14 Sep 2026, 12:21 PM
Nepal hargai bantuan US$1 juta Malaysia, sokongan SMART

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Beberapa hari selepas banjir membawa kemusnahan besar menghanyutkan kawasan petempatan dan menyebabkan komuniti terputus hubungan di Nepal, negara itu menzahirkan penghargaan kepada Malaysia kerana menyalurkan bantuan sebanyak US$1 juta serta mengatur gerak Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi menyokong operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Kuasa Usaha Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur Mudita Bajracharya berkata sokongan dan kepakaran antarabangsa amat penting tatkala Nepal meneruskan usaha mengesan mangsa serta menyalurkan bantuan kepada komuniti yang terjejas.

"Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Malaysia atas sumbangan sebanyak US$1 juta," katanya sambil menambah Nepal menerima bantuan yang besar daripada negara jiran dan negara sahabat, pertubuhan antarabangsa, dermawan serta penderma dari seluruh dunia.

Ketika tampil dalam program Bernama World bertajuk "Nepal Floods: The Road to Recovery" pada Isnin, Bajracharya berkata pasukan SMART membantu operasi SAR bersama-sama pasukan antarabangsa yang lain.

Pasukan SMART yang dianggotai 11 anggota dan diatur gerak ke Nepal pada 5 Sept bagi Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) telah menamatkan penugasan lapangannya dan kembali ke Malaysia.

Pasukan antarabangsa lain yang terbabit dalam usaha menyelamat termasuk dari Australia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), manakala pasukan penyelamat khas terowong dari India, China dan Korea Selatan bekerjasama dengan Tentera Nepal untuk mencari mangsa di kawasan yang sukar diakses.

Bajracharya berkata operasi SAR masih diteruskan, terutamanya di sekitar loji hidrokuasa dan lokasi lain yang terjejas, manakala peralatan serta bekalan tambahan sedang digerakkan dengan bantuan rakan kongsi antarabangsa.

Beliau berkata Nepal turut memohon peralatan serta bekalan tambahan bagi memperkukuh usaha menyelamat dan pengecaman asid deoksiribonukleik (DNA), termasuk dron berkapasiti tinggi dan dron bawah air, kit ujian DNA, bekalan pencegahan wabak, generator mudah alih, pam berkapasiti tinggi, penyejuk beku makmal dan sut penyelamat terowong.

Bajracharya berkata skala kemusnahan masih sangat besar, dengan bencana yang melanda di sepanjang Sungai Bhotekoshi dan Trishuli 20 hari lepas menyebabkan komuniti kehilangan tempat tinggal serta kediaman, jalan raya, jambatan, kemudahan hidrokuasa dan infrastruktur penting lain mengalami kerosakan teruk.

"Kawasan petempatan dihanyutkan dan akses amat sukar," katanya sambil menambah pihak berkuasa sedang berusaha memulihkan jalan raya, bekalan elektrik dan kesalinghubungan telekomunikasi di kawasan terjejas.

Bajracharya berkata sebuah jambatan Acrow telah dipasang merentasi sungai di laluan jalan Galchi-Trishuli, manakala operasi pembersihan jalan dan lokasi diteruskan di kawasan lain yang terjejas.

Sementara itu, Bajracharya berkata bencana berkenaan telah menarik perhatian lebih besar terhadap kesan perubahan iklim yang tidak seimbang ke atas negara yang terdedah kepada risiko.

"Negara seperti Nepal menanggung kesan paling buruk akibat perubahan iklim," katanya.

Sehubungan itu, Nepal merayu kepada negara kaya dan maju supaya memudahkan akses kepada pembiayaan iklim dan teknologi bagi membantu negara itu membina infrastruktur berdaya tahan iklim, menggalakkan pertanian pintar iklim serta memperkukuh kapasiti pihak berkepentingan, katanya.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.