Tugas SMART di Nepal berakhir tetapi usaha kesan 55 rakyat Malaysia diteruskan

14 Sep 2026, 4:16 AM
Tugas SMART di Nepal berakhir tetapi usaha kesan 55 rakyat Malaysia diteruskan

SHAH ALAM, 14 SEPT: Usaha mendapatkan kepastian mengenai status 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi susulan tragedi banjir di Nepal diteruskan meskipun penugasan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di negara itu telah berakhir.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya memahami kebimbangan keluarga yang masih menantikan kepastian mengenai nasib insan tersayang susulan kepulangan pasukan SMART hari ini.

“Kementerian kekal berhubung secara langsung dengan waris terdekat rakyat Malaysia yang terbabit dan akan terus menyalurkan perkembangan berdasarkan maklumat yang telah disahkan.

“Sekiranya terdapat perkembangan yang telah disahkan mengenai status seseorang rakyat Malaysia, waris terdekat akan dimaklumkan terlebih dahulu sebelum sebarang pengumuman dibuat kepada umum.

“Semua 55 rakyat Malaysia berkenaan kekal direkodkan sebagai masih belum dapat dihubungi sementara proses berkaitan bagi menentukan status setiap individu terus dilaksanakan,” maklumnya.

Kementerian Luar Negeri berkata berdasarkan maklumat terkini yang diterima dari Nepal, pihak berkuasa negara itu terus melaksanakan usaha pencarian, pengesahan dan pengecaman susulan bencana berkenaan.

"Bagi menyokong usaha tindak balas bencana yang masih dilaksanakan oleh pihak Nepal, SMART sudah memberikan latihan pengendalian dron kepada anggota penyelamat Nepal.

"Sementara itu, sembilan dron sudah diserahkan kepada Kerajaan Nepal melalui National Disaster Risk Reduction and Management Authority (NDRRMA) untuk digunakan dalam operasi berkaitan bencana," katanya.

Dalam pada itu, kementerian itu berkata pelbagai usaha dilakukan kementerian bagi mendapatkan status terkini rakyat Malaysia yang masih hilang, termasuk mendengar taklimat daripada pasukan SMART.

Katanya, pihak kementerian juga akan mendengar taklimat daripada pasukan SMART yang kembali ke Malaysia hari ini mengenai penugasan serta maklumat yang diperoleh sepanjang operasi di lapangan.

"Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu pula akan terus mendapatkan maklumat secara langsung daripada NDRRMA dan pihak berkuasa Nepal yang berkaitan.

"Ia antara lain membuat semakan dengan hospital serta agensi berkaitan dan melaksanakan semakan atau lawatan susulan sekiranya keadaan keselamatan mengizinkan serta setelah mendapat kelulusan pihak berkuasa Nepal," katanya.

Usaha Malaysia turut diteruskan berhubung perkembangan di China, dengan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing akan terus berhubung dengan pihak berkuasa China yang berkaitan mengenai rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana berkenaan serta sebarang maklumat yang dapat membantu menentukan status mereka.

Mengulas lanjut, kementerian turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Nepal serta pihak berkuasa Nepal yang berkaitan atas kerjasama dan bantuan yang diberikan sepanjang penugasan SMART, selain kerjasama berterusan yang diberikan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu.

Semalam, waris kepada mangsa yang dilaporkan hilang dalam tragedi banjir di Nepal, berharap pihak berkaitan terus memberikan perkembangan mengenai usaha mencari dan menyelamat (SAR) susulan kepulangan SMART ke tanah air.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.