KUALA LUMPUR, 30 OKT: Proses penyaluran bayaran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada waris individu yang terkorban dalam tragedi banjir Nepal-Tibet dijangka dipercepatkan, dengan pembayaran dirancang pada 4 Nov ini, menurut Solidariti Malaysia: Keluarga Dalam Harapan (MASFIH).
Penyelaras dan Jurucakap MASFIH Dr Manivannan Rethinam berkata perkembangan itu dimaklumkan kepada beberapa keluarga yang telah dihubungi PERKESO, dengan proses pengumpulan dokumen sokongan kini sedang dipercepatkan bagi membolehkan bayaran disalurkan.
Beliau berkata PERKESO mula menghubungi waris yang dikenal pasti layak menerima bayaran menerusi beberapa saluran, termasuk nombor telefon yang tersedia, pihak majikan dan media sosial.
“Susulan pertemuan bersama YB Menteri Sumber Manusia (KESUMA) pada hari Rabu, pihak PERKESO telah mula menghubungi waris individu yang dikenal pasti layak menerima bayaran sejak semalam, 29 Okt 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Manivannan, MASFIH turut membantu melancarkan proses berkenaan dengan menyelaras maklumat perhubungan waris selepas membangkitkan beberapa kekangan komunikasi pada peringkat awal.
“Susulan maklum balas yang diterima daripada beberapa ahli keluarga, saya telah menghubungi Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PERKESO untuk membangkitkan perkara ini,” katanya.
Manivannan berkata beliau kemudian menerima senarai individu yang dikenal pasti layak menerima bayaran daripada pihak PERKESO sebelum mengemas kini maklumat waris, termasuk nombor telefon dan butiran perhubungan untuk diserahkan semula kepada agensi itu.
Beliau berkata penyelarasan berkenaan membantu melancarkan komunikasi dan membolehkan waris yang terlibat dihubungi secara terus bagi urusan dokumentasi serta pembayaran.
Sementara itu, MASFIH masih menantikan keputusan kerajaan berhubung Bantuan Khas Kewangan untuk 54 keluarga rakyat Malaysia yang terkesan akibat tragedi berkenaan.
Manivannan berkata pihaknya berharap perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dan menghasilkan keputusan positif yang disusuli pengumuman rasmi serta tindakan konkrit bagi membantu keluarga terjejas.
Beliau berkata MASFIH akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dan agensi berkaitan bagi memantau perkembangan serta memastikan kebajikan semua keluarga terlibat terus diberi perhatian.
-- BERNAMA







