SHAH ALAM, 27 SEPT: Keluarga dan waris kepada 55 mangsa insiden banjir di Nepal tiba di Wisma Putra di sini, seawal 9 pagi hari ini bagi menghadiri sesi taklimat tertutup mengenai perkembangan terkini tragedi berkenaan.
Kawalan keselamatan di kawasan pentadbiran itu dilaporkan ketat apabila hanya dua waris terdekat yang berdaftar dibenarkan memasuki kawasan khas ditetapkan.
Media yang hadir untuk membuat liputan pula diminta berkumpul di lokasi khas sementara menunggu kebenaran lanjut daripada pihak berkuasa.
Kumpulan waris berkenaan mula dibawa masuk ke ruang legar utama sekitar 9.30 pagi bagi mengikuti sesi taklimat kali kedua yang dianjurkan agensi kerajaan, lapor Harian Metro.
Taklimat khas itu disampaikan secara tertutup menerusi kerjasama beberapa agensi termasuk Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Kimia Malaysia serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Terdahulu, sesi taklimat pertama memberi tumpuan kepada proses pengambilan sampel DNA daripada ahli keluarga terdekat bagi tujuan ujian padanan dan pengesahan identiti mangsa.
Sesi susulan kali ini pula bertujuan menyampaikan maklumat serta perkembangan terkini berkaitan status operasi dan kebajikan ahli keluarga yang terbabit.
Sehingga kini, pengamal media masih berkumpul di perkarangan Wisma Putra bagi mendapatkan maklumat rasmi daripada pihak berkuasa selepas sesi taklimat berkenaan selesai.










