SHAH ALAM, 14 SEPT: Kerajaan Negeri menyalurkan RM500,000 bagi menjayakan Kejohanan Piala Jubli Perak sempena 25 tahun pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata peruntukan tersebut menjadi galakan kepada pembangunan bola sepak akar umbi serta platform mengenal pasti bakat baharu yang berpotensi diketengahkan.
Jelas beliau, pemain yang dikenal pasti menerusi kejohanan tersebut boleh dipertimbangkan untuk diserap ke program pembangunan bola sepak, termasuk sebagai persediaan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA).

“Akar umbi ini maksudnya kita beri manfaat semula kepada masyarakat, kepada rakyat dan ini adalah masa depan bola sepak di Selangor.
“Pihak yang terlibat dalam pembangunan sukan bola sepak juga boleh mengambil peluang untuk mencari bakat-bakat yang ada untuk diserapkan kemudian nanti, mungkin untuk SUKMA dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata pembangunan bola sepak juga perlu disokong kemudahan sukan yang baik serta ekosistem menyeluruh untuk pemain, termasuk aspek rawatan dan pemulihan sekiranya berlaku kecederaan.
Katanya, perkara itu penting bagi memastikan agenda pembangunan bola sepak Selangor dapat terus diperkasa dan ditambah baik dari semasa ke semasa.
Pada masa sama, beliau mengingatkan pelajar, guru dan penyokong supaya memastikan kemeriahan kejohanan tidak melampaui batas, termasuk mengelakkan tindakan terlalu agresif ketika menyokong pasukan masing-masing.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan, Dato’ Emran Kadir berkata setiap sekolah menerima RM1,200 daripada peruntukan RM500,000 itu sebagai modal permulaan menyertai kejohanan.
“Apabila saingan 48 pasukan disaring kepada 32, 16, lapan dan empat pasukan, setiap pasukan akan menerima tambahan RM1,000 pada setiap peringkat.
“Disediakan juga hadiah individu bagi Pemain Terbaik dan Penjaring Terbanyak seperti yang kebiasaannya ditawarkan dalam kejohanan lain,” katanya.









