KUALA LUMPUR, 24 OKT: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berharap generasi muda di negeri itu akan menjadi golongan yang berilmu, penuh belas kasihan, berdaya tahan, bersatu padu dan menghormati orang lain.
Baginda bertitah bahawa golongan muda harus berusaha mencapai kecemerlangan tanpa mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap masyarakat.
“Mereka juga harus memahami bahawa kepelbagaian adalah antara kekuatan terbesar Malaysia.
“Sikap saling menghormati dan memahami akan terus menjadi kunci kepada keharmonian dan kemajuan kita yang berterusan,” titah baginda dalam wawancara khas bersempena dengan sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor.
Sultan Sharafuddin turut menasihati golongan itu agar meneliti laporan berita secara mendalam sebelum memberikan ulasan terutamanya di media sosial, dan bukannya membentuk pendapat berdasarkan tajuk semata-mata.
Baginda bertitah bahawa generasi muda telah mengambil langkah yang tepat dengan memberikan penekanan terhadap kelestarian alam sekitar dan pemeliharaan warisan.
“Kemajuan ekonomi tidak seharusnya dicapai dengan mengorbankan alam semula jadi atau identiti sejarah kita.
“Merancang untuk generasi akan datang bermaksud melindungi hutan, sungai serta kawasan hijau, dan pada masa sama, memelihara mercu tanda sejarah serta tradisi budaya kita.
“Pembangunan dan pemuliharaan bukanlah matlamat yang bertentangan sebaliknya perlu saling melengkapi,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah bahawa pendidikan kekal sebagai asas kemajuan jangka panjang khususnya dalam mempersiap golongan muda mendepani dunia yang berubah dengan pantas.
“Kecerdasan buatan (AI) mungkin tidak menggantikan semua pekerjaan namun dalam banyak keadaan, individu yang mempunyai kemahiran dalam teknologi ini akan menggantikan mereka yang tidak memilikinya.
“Selangor tidak boleh ketinggalan dalam aspek ini. Kita mesti bersedia mendepaninya dan beta berharap kerajaan negeri menyedari hakikat ini,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut mengingatkan agar kebajikan warga emas tidak diabaikan ketika Selangor sedang menuju ke arah masyarakat menua.
Baginda bertitah bahawa perkhidmatan penjagaan kesihatan perlu berkembang seiring dengan perubahan demografi manakala inovasi perlu terus diperkasa bagi meningkatkan daya saing negeri.
Sultan Sharafuddin mencadangkan agar Selangor berusaha menjadi negeri pertama yang menubuhkan pusat perubatan geriatrik khusus yang memfokus kepada kesihatan, penjagaan, pencegahan dan rawatan penyakit yang sering dialami oleh warga emas.
Antaranya risiko terjatuh, kelemahan fizikal, masalah kawalan pundi kencing dan kemerosotan daya ingatan.
“Kita perlu mengutamakan kualiti hidup warga emas secara menyeluruh termasuk aspek keselamatan, keupayaan hidup berdikari dan penggunaan ubat-ubatan secara seimbang,” titah baginda.








